- Iklan -
Berita

Subsidi upah mungkin dilanjutkan lebih dari tiga bulan

Bagaimanapun ia tertakluk kepada beberapa petunjuk fiskal dan keadaan ekonomi negara.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
PSU berupaya mencetuskan kesan positif dalam menangani masalah pengangguran.
PSU berupaya mencetuskan kesan positif dalam menangani masalah pengangguran.

Program Subsidi Upah (PSU) mungkin akan dilanjutkan lebih dari tiga bulan pada tahun depan, tetapi ia tertakluk kepada beberapa petunjuk fiskal dan keadaan ekonomi negara, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Abd Rahim Bakri.

Katanya PSU yang diwujudkan kerajaan ketika pandemik Covid-19 dilihat berupaya mencetuskan kesan positif dalam menangani masalah pengangguran.

“PSU dapat bantu operasi syarikat dan mereka yang hilang pekerjaan, justeru kerajaan sedang menilai dari semasa ke semasa tentang perkara ini (melanjutkan PSU).

Tambahnya menerusi pendekatan ini, subsidi disalurkan kerajaan didapati berupaya membantu majikan yang terkesan dengan wabak yang tercetus sejak hujung tahun lalu.

“Untuk waktu ini, kita sambung PSU pada 2021 untuk tiga bulan lagi dengan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion.

“Lanjutan PSU seperti dibangkitkan Yang Berhormat akan tertakluk kepada keadaan selanjutnya, termasuk ekonomi 2021 untuk kita timbang keperluan langkah ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hatta Ramli (Amanah-Lumut) yang mahu Kementerian Kewangan menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk memperluaskan jumlah penerima dan tempoh masa bagi PSU sehingga pandemik Covid-19 selesai.

Sebelum ini kerajaan turut diminta meningkatkan siling PSU bersasar khusus untuk bekas pekerja sektor penerbangan, pelancongan dan perhotelan yang teruk terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Dalam Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, berkata PSU dilanjutkan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah, manakala had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.

Katanya RM1.5 bilion diperuntukkan dan dijangka membantu kira-kira 70,000 majikan dan 900,000 pekerja.