- Iklan -
Berita

Wanita Singapura berdepan hukuman tembak sampai mati di China

Kes melibatkan Siti Aslinda Junaidi terlalu samar-samar.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan sekumpulan banduan dihukum mati selepas didapati bersalah kerana mengedar dadah di China. Gambar: AFP
Gambar fail menunjukkan sekumpulan banduan dihukum mati selepas didapati bersalah kerana mengedar dadah di China. Gambar: AFP

Seorang wanita Singapura dijatuhi hukuman tembak sampai mati oleh mahkamah di China atas kesalahan mengedar dadah, tetapi butiran mengenai kes itu terlalu samar-samar sehingga menyukarkan usaha keluarga bagi menyediakan khidmat peguam dalam kes rayuannya.

Difahamkan, Siti Aslinda Junaidi, 35, ditangkap di Shenzhen, China, enam tahun lepas atas kesalahan mengedar dadah, ketika dia menemani teman lelakinya yang ditahan semasa membawa bahan terlarang itu.

Peguamnya, M Ravi yang juga merupakan seorang aktivis hak asasi manusia, menulis surat kepada kementerian luar negeri Singapura bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes membabitkan Aslinda.

Sebelum ini, terdapat dakwaan mengatakan tiada seorang pun wakil daripada pemerintah Singapura melawatnya sejak setahun lalu, dan tidak ada seorang pun peguam tampil untuk membelanya sejak dia ditahan.

Ravi, yang sering lantang bersuara di Singapura berkempen bagi menghapuskan hukuman mati di Kota Singa itu, turut mengatakan dia dimaklumkan hukuman tembak sampai mati yang dihadapi Aslinda akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi.

Anak perempuan Aslinda berusia 17 tahun yang dihubungi mengatakan terdapat kekurangan bukti dalam kes melibatkan ibunya.

“Apa yang boleh saya katakan, kejadian itu berlaku ketika saya baru berusia 12 tahun. Saya tidak berapa pasti mengenainya.

“Tapi apa yang saya pasti sejak sekian lama tiada apapun dilakukan,” kata Ismiraldha kepada MalaysiaNow.

Katanya, ibunya kini ditahan di Pusat Tahanan Shenzhen di wilayah Guangdong di selatan China.

Tambahnya pemerintah Singapura menerusi pejabat konsulat jeneral di Guangzhou, di ibu kota Guangdong, mengirim wang sebanyak S$100 atau RM304 kepada ibunya setiap bulan sejak dia ditangkap.

Ravi dalam suratnya kepada kementerian luar negeri Singapura meminta penjelasan mengenai wang bulanan itu.

MalaysiaNow sudah menghubungi pejabat konsulat jeneral Singapura di Guangdong bagi mendapatkan komen.

Katanya, ibunya kini ditahan di Pusat Tahanan Shenzhen di wilayah Guangdong di selatan China.

Surat dari penjara

Sementara itu, dalam sepucuk surat tulisan tangan yang dikirim kepada Ismiraldha bulan lepas, Aslinda memberitahu anaknya bahawa hukuman yang diterimanya “tidak adil”.

“Saya perlu perjuangkan hak saya walau apa jua cara sekalipun. Saya tahu ia terlalu sukar untuk diterima dan saya akan melakukan sesuatu mengenainya,” tulis Aslinda.

Dia juga mendedahkan wakil konsulat Singapura sudah tidak melawatnya sejak 15 bulan lalu.

“Saya tidak tahu kenapa. Rasa amat risau di sini.”

Dia juga menasihati anaknya supaya tidak terlaku memikirkan mengenai nasib yang menimpa dirinya, dan meminta Ismiraldha memberi tumpuan pada pelajaran.

“Elda, berapa tinggi dan berat kamu sekarang? Bagaimana kehidupan kamu di Institut Teknologi Teknikal (ITE)? Seronok? Bergembiralah,” tulisnya, dengan memanggil anaknya menggunakan nama timangan.

Ravi mengatakan kempen anti hukuman mati yang dilakukannya akan turut melibatkan Aslinda.

“Ia amat meruntun jiwa apabila Elda menghubungi saya malam semalam merayu supaya saya selamatkan ibunya daripada ditembak dua minggu lagi.

“Saya meminta pertolongan daripada tuhan untuk berikan saya kekuatan dan bimbingan dalam perjuangan yang sukar tapi tidak sia-sia ini,” kata Ravi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.