- Iklan -
Berita

Bekalan vaksin Covid-19 kikis perasaan takut masyarakat, kata pakar

Orang ramai kini lebih berani berada di luar rumah dan di tempat-tempat awam.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai dilihat memenuhi kawasan-kawasan tumpuan sekitar ibu negara. Gambar yang dirakam semalam ini menunjukkan suasana di sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Orang ramai dilihat memenuhi kawasan-kawasan tumpuan sekitar ibu negara. Gambar yang dirakam semalam ini menunjukkan suasana di sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Orang ramai lebih yakin untuk melakukan aktiviti luar rumah dan berada di tempat awam selepas pengumuman Malaysia akan menerima bekalan vaksin Covid 19 mulai awal tahun hadapan, kata pakar kesihatan.

Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia Dr Steven Chow berkata, dengan berita baik itu, masyarakat berasa episod sukar yang dihadapi mereka dalam tempoh pandemik ini akan berakhir.

“Tanpa vaksin, ia seolah-olah satu perjalanan yang tiada berpenghujung,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Tambahnya, berbanding dengan situasi kemuncak krisis Covid-19, rata-rata masyarakat takut untuk berada di luar rumah dan terdedah kepada kawasan terbuka.

Katanya, ini kerana terdapat pelbagai stigma dan tanggapan terhadap jangkitan wabak itu menyebabkan ramai orang terutama pesakit “bersembunyi” dan khuatir akan menyebarkannya dalam komuniti.

Pada Mac hingga Julai, rakyat Malaysia berada di dalam rumah selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 hingga 3 bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

“Tanpa vaksin, ia seolah-olah satu perjalanan yang tiada berpenghujung,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Pelaksanaan arahan itu menyaksikan tiada perjalanan rentas negeri dibenarkan, pergerakan sosial yang terhad dengan banyak sektor ekonomi juga ditutup.

Ketika itu, hanya petugas barisan hadapan dan mereka yang berkhidmat di sektor perkhidmatan perlu (essential services) dibenarkan berada di luar kawasan kediaman.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Malaysia sudah menandatangani kontrak dengan syarikat gergasi farmaseutikal Pfizer dan BioNTech untuk menerima perolehan pelalian Covid-19 pada suku pertama 2021.

Kerajaan juga meletakkan sasaran 70% atau kira-kira 6.4 juta rakyat bagi pembentukan imuniti kelompok di bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan bagi penyakit Covid-19 pada tahun depan.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menegaskan khabar baik mengenai pembelian vaksin itu tidak boleh dilihat sebagai peluang untuk meninggalkan amalan norma baru yang diamalkan selama krisis pandemik tersebut.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata meskipun vaksin sudah ditemui, orang ramai tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Tambahnya, penemuan vaksin bagi Covid-19 belum tentu menjamin kadar jangkitan wabak itu akan menurun.

“Jadi, patuhi SOP. Mereka perlu menjaga diri sendiri dan mengelakkan daripada terkena jangkitan tersebut,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, jika pematuhan norma baru dan SOP itu diambil mudah, mereka mendedahkan diri kepada bahaya jangkitan wabak berkenaan.