- Iklan -
Berita

Hospital Klang sahkan 50 petugas dijangkiti Covid-19

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak ke hospital kecuali melibatkan urusan penting dan kecemasan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
JKN Selangor sahkan 50 petugas Hospital Klang dijangkiti Covid-19. Gambar: Facebook
JKN Selangor sahkan 50 petugas Hospital Klang dijangkiti Covid-19. Gambar: Facebook

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor menasihatkan orang ramai supaya tidak hadir ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang kecuali mempunyai urusan penting.

Ini susulan terdapat jangkitan Covid-19 melibatkan petugas kesihatan di hospital tersebut.

JKN Selangor mengesahkan seramai 50 orang petugas kesihatan positif wabak berkenaan.

Kini, mereka dilaporkan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Pengarahnya JKN Selangor Dr Shaari Ngadiman berkata, peningkatan kes Severe Acute Respiratory Infections (Sari) yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan mengakibatkan kebarangkalian peningkatan kes Covid-19.

Klang berada dalam “zon merah” jangkitan wabak berkenaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 9 Oktober lalu, susulan peningkatan kes harian di daerah berkenaan.

Bagaimanapun, Shaari berkata hasil siasatan hospital dan JKN Selangor tidak dapat mengenalpasti punca jangkitan boleh berlaku terhadap 50 petugas kesihatan tersebut.

Katanya, kesemua individu dalam senarai kontak sudah menjalani ujian swab dan diletakkan di bawah arahan Home Surveillance Order (HSO) atau inkubasi.

“Pengurusan rawatan pesakit di HTAR masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini, media melaporkan terdapat penularan wabak Covid-19 di hospital tersebut apabila pesakit dan kakitangan hospital yang disahkan positif dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bagi rawatan lanjut.

Dilaporkan juga, terdapat wakil kementerian kesihatan Malaysia (KKM) menghadiri taklimat berhubung kemungkinan berlaku penularan di hospital itu hari ini.

Shaari dilaporkan mengesahkan upacara taklimat berkenaan dengan mengatakan beliau maklum bahawa jururawat disahkan positif ketiga mengendalikan pesakit positif Covid-19 di wad hospital.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.