Allahyarhamah Rahah Mohamed Noah banyak menabur jasa dalam membantu suaminya, Abdul Razak Hussein ketika menjadi perdana menteri kedua, kata bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Mahathir yang mempunyai hubungan akrab dengan keluarga Razak itu menyifatkan Allahyarhamah sebagai antara generasi merdeka terakhir yang tidak ternilai jasa dan sumbangannya kepada negara.
“(Beliau) generasi ‘merdeka’… tak banyak orang yang generasi merdeka yang masih ada (hidup). Mungkin (beliau) antara yang terakhir.
“Dia membantu Razak semasa Razak jadi perdana menteri…,” kata Mahathir yang kelihatan tidak mampu menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir di Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinchi.
Mahathir, yang ditemani isteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan anaknya, Mukhriz adalah antara pemimpin negara dan kenalan yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Di sebalik tugasnya sebagai seorang isteri kepada pemimpin utama negara, Rahah membuktikan bahawa kaum wanita juga boleh memberi sumbangan berkesan kepada pembangunan negara dengan membabitkan diri dalam beberapa kegiatan kaum wanita di negara ini.
Beliau aktif dalam pergerakan Ibu Umno (kini Wanita Umno) dan pernah menjadi pengasas pergerakan Wanita Umno Petaling Jaya, selain cenderung dengan kerja-kerja kebajikan khususnya yang memberi manfaat kepada kaum wanita.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata pemergian Allahyarhamah adalah satu kehilangan besar kepada negara.
“Sudah pasti sumbangan Rahah kepada negara sangat-sangat besar, terutamanya sebagai seorang yang membantu Razak membina semula negara,” katanya.
Beberapa ahli politik pembangkang turut hadir memberi penghormatan terakhir antaranya seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Mewakili Wanita DAP, Syefura menyifatkan kecekalan dan keperibadian Allahyarhamah sebagai ibu tunggal yang membesarkan lima orang anaknya adalah contoh seorang wanita tabah.
“Beliau ialah wanita yang disegani, wanita yang cekal kerana berjaya membesarkan anak-anak apabila kehilangan suami pada usia muda. Kehilangan beliau adalah kehilangan besar kepada negara dan juga kepada wanita hari ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui kagum dengan ketabahan Rahah yang mendidik anak-anaknya ketika suaminya, Razak sedang melawan penyakit leukemia.
“Tabah dan cara dia.. memang ada ciri-ciri yang kita boleh belajar (daripadanya) iaitu tabah. Salam takziah daripada saya,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim berkata Allahyarhamah Rahah merupakan lambang seorang isteri yang sukar ditandingi atas sifat-sifat mulia, lemah lembut dan pendekatan beliau bersama suami.
Pemergian Tun Rahah jelas dirasai rakyat negara ini dan bagi Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita yang tiada tolok bandingnya.