- Iklan -
Berita

Rakyat Malaysia antara 15 kes import tidak bergejala di Singapura

Pemegang permit jangka pendek yang tiba dari Malaysia untuk projek kerja di negara itu diasingkan sejurus tiba di Singapura.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan di Republik Singapura. Gambar: Facebook
Pemandangan di Republik Singapura. Gambar: Facebook

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan satu daripada 17 kes Covid-19 yang diimport di republik seperti yang diumumkan Sabtu, adalah melibatkan seorang lelaki Malaysia berusia 54 tahun.

Dilabelkan sebagai kes 58629, pemegang permit jangka pendek yang tiba dari Malaysia untuk projek kerja di negara itu diasingkan sejurus tiba di Singapura, menurut data penuh kementerian berkenaan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Menurut kementerian itu, lelaki berkenaan serta 14 kes import lain adalah tidak bergejala, yang dikesan daripada pengawasan dan saringan proaktif.

Setakat tengah hari Sabtu, republik ini melaporkan sejumlah 17 kes baru tanpa jangkitan dalam komuniti atau tinggal di asrama, menjadikan jumlah jangkitan kini 58,403.

Sehingga kini MOH mengklasifikasikan 1,622 kes yang dilaporkan sebagai diimport; 2,275 kes dalam komuniti dan 54,506 kes melibatkan penghuni asrama.

Kira-kira 99 peratus atau 58,274 kes sembuh sepenuhnya manakala 38 kes masih dirawat di hospital dan tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 62 pesakit bergejala ringan atau secara klinikal sihat namun masih diuji positif Covid-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini, 29 orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 di Singapura, dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac, manakala kematian terakhir dilaporkan pada 28 November lepas.

Singapura menamatkan kluster coronavirus terakhir, iaitu asrama pekerja asing pada 25 November.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.