Singapura telah menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Singapore Airlines (SIA).
Ia sekali gus menjadikan Singapura negara Asia pertama yang menerima vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.
“Penghantaran kumpulan pertama vaksin Covid-19 ini ke Singapura adalah tonggak penting dalam memerangi Covid-19, dan kami berasa gembira dapat memainkan peranan dalam hal ini.
“Ini juga menunjukkan kesediaan hub perkhidmatan udara SIA dan Singapura bagi tugas yang sangat penting untuk mengangkut dan mengedarkan vaksin Covid-19 ke peringkat antarabangsa,” kata Naib Presiden Kanan Kargo SIA, Chin Yau Seng pada Selasa.
Minggu lalu, Singapura meluluskan vaksin itu dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan ia bakal diberi percuma dan secara sukarela kepada semua warganegara serta penduduk jangka panjang.
Negara ini juga akan mengurangi sekatan berkaitan virus mulai 28 Disember.
Menurut Kementerian Kesihatan, perjumpaan sosial sehingga lapan orang akan dibenarkan, berbanding lima orang ketika ini.
Singapura melaporkan 10 kes baharu Covid-19, termasuk sembilan yang diimport, dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan keseluruhan kepada 58,403 manakala angka korban setakat ini seramai 29 orang.