- Iklan -
Berita

Kenali pasukan yang membantu anda mengelak kesesakan dan jalan berlubang

Di Malaysia, Waze dikendalikan sekumpulan sukarelawan yang mengemaskini peta setiap bulan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Aplikasi navigasi Waze. Gambar: AP
Aplikasi navigasi Waze. Gambar: AP

Anda mungkin mengenali Waze sebagai aplikasi navigasi menyenangkan, berasaskan komuniti yang memudahkan pemanduan anda setiap hari.

Kekuatan Waze adalah daripada komunitinya dan yang memainkan peranan besar dalam komuniti ini adalah penyunting peta seperti Yusmizan Ag Kirah dan Lee Zhong Zhen.

Siapakah penyunting-penyunting peta dan apakah yang mereka lakukan?

Apabila anda bertemu dengan jalan mati dalam peta, atau anda memerlukan pertolongan untuk menyunting lokasi tempat perniagaan anda, anda boleh mendapatkan bantuan daripada penyunting-penyunting ini.

Yusmizan Ag Kirah.

Di Malaysia, aplikasi ini dijaga oleh sekumpulan sukarelawan yang mempunyai minat mendalam dan merupakan 1% daripada jaringan global lebih kurang 30,000 penyunting yang mengemaskini peta Waze setiap bulan.

Bukan itu sahaja, mereka juga berada dalam kumpulan Facebook Waze Malaysia untuk berkongsikan maklumat dan menghulurkan bantuan apabila diperlukan.

Yus merupakan pensyarah sepenuh masa di Sabah. Beliau menyertai Waze pada tahun 2013 dan kini merupakan pengurus negara, “global champ” dan koordinator negara. Beliau mencuri waktu sebelum dan selepas mengajar untuk mengemaskini peta dan berkomunikasi dengan komuniti Waze.

Sementara Lee merupakan pengurus negara Tahap 5 dan “local champ” berpusat di Lembah Klang. Lima tahun lalu tiada jalan dalam peta Waze yang menghubungkan ke rumahnya dan sesiapa sahaja yang baru di kawasan itu pasti akan tersesat jika mahu mencarinya.

Dia merasa kecewa dan mahu mengetahui siapa yang perlu dihubungi daripada Waze untuk membangkitkan hal ini. Pada ketika itulah dia menemukan sekumpulan sukarelawan tersebut.

“Semua orang boleh menjadi penyunting dan mengambil tindakan,” dia terfikir dan begitulah bagaimana dirinya menjadi penyunting. Semenjak itu dia mengemaskini, menyunting, membetulkan dan mengurus peta-peta di kawasannya dan tempat asalnya di Seremban.

Apabila pandemik melanda dan pergerakan turun dengan mendadak pada awal pengenalan perintah kawalan pergerakan, komuniti ini sibuk menandakan kawasan-kawasan yang mempunyai sekatan jalan raya.

Dalam tahun ini, rakyat Malaysia sudah boleh menggunakan navigasi GPS tanpa gangguan apabila melalui Terowong SMART dan jalan bawah tanah menghala ke Tun Razak Exchange (TRX) disebabkan pemasangan peranti berasaskan bluetooth dikenali sebagai Beacons.

TRX merupakan yang pertama di Asia Tenggara untuk menggunakan teknologi ini dan kedua-dua Yus dan Lee terlibat dalam pemetaan laluan ini.

Pemetaan kawasan ini lebih mencabar daripada biasa. Untuk struktur ruang bawah tanah TRX, mereka perlu memberikan gambaran tepat kepada penyunting peta.

Apa yang membuatkan ia sukar kerana ketinggian jalan tidak berbeza jika dibandingkan jalan utama dan jalan-jalan bawah tanah.

Jika berlaku kesilapan ia boleh menyebabkan pengguna menuju ke destinasi yang salah. Bagi melengkapkan pemetaan kawasan seluas 300 meter, mereka mengambil masa kira-kira tiga hari dan 15 jam.

Walaupun kedua-dua mereka tidak terlibat dalam melakukan penilaian melibatkan Terowong SMART, ia dilakukan oleh seorang lagi penyunting peta tempatan bernama Ahmad Kamal Effendy.

Kini komuniti itu terus melakukan tugas dengan baik bagi memastikan peta sentiasa dikemaskini.

Musim perayaan adalah masa untuk mereka berada di samping orang tersayang. Pandemik global menjadikannya lebih penting untuk bersama komuniti yang mempunyai minat sama, persahabatan atau seseorang yang dekat untuk dipanggil sebagai “keluarga”.

Ternyata komuniti Waze bukan sekadar mereka yang gemar berbicara mengenai peta.

Kesemua sukarelawan datang daripada pelbagai latar belakang dan berkongsi minat serta tujuan yang sama. Sebagai contoh, mengadakan maraton maya, tolong menolong antara satu sama lain, atau bersatu demi tujuan yang baik.

Baru-baru ini mereka menjalankan aktiviti menderma darah, yang dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Persoalannya, mengapa mereka sanggup menghabiskan masa dan usaha bagi meningkatkan keupayaan aplikasi Waze sedangkan mereka tidak dibayar?

“Saya tidak tahan menghabiskan masa dalam kesesakan lalu lintas, kadang-kala berjam-jam, sedangkan ada perkara lain yang lebih bermanfaat boleh dilakukan. Apabila ada yang datang berjumpa memberitahu Waze membawa mereka keluar daripada kesesakan, saya amat gembira,” kata Yus tentang apa yang membuatkan penyunting sepertinya rasa dihargai.

Lee Zhong Zhen.

Bagi Lee, ia merupakan keupayaan membetulkan kesilapan dalam peta. “Kekecewaan saya pada awal-awal dulu tiada lagi kerana kini saya ada kuasa untuk mengubah dan membetulkan apa yang salah dan saya tidak lagi sesat.

“Tetapi bukan itu sahaja, saya merasakan kami boleh bergantung antara satu sama lain, dan ia cara terbaik untuk membuat kawan baru yang kini dekat di hati saya.”

Sebagai penyunting, mereka berpeluang menjadi orang pertama menguji ciri-ciri baru, kerana merupakan sebahagian daripada kumpulan penguji beta. Ia terutamanya melibatkan ciri-ciri setempat baru yang tidak kesemuanya sampai ke pengguna sekali gus.

Mereka melihatnya sebagai satu penghargaan daripada Waze apabila menerima pemberian istimewa dan barangan dari masa ke masa – semuanya merupakan barangan yang tidak dapat dibeli dari kedai.

Ketika ditanya mengenai pandangan tentang kualiti yang diperlukan untuk menjadi penyunting, Yus berseloroh dan berkata, “Anda mesti merupakan pengguna aplikasi Waze, atau anda tak akan faham mengenai masalah yang dihadapi. Kesabaran dan kemahuan untuk membantu orang lain juga penting. Pengetahuan mengenai pemetaan tidak diperlukan kerana akan ada penyunting lebih berpengalaman akan membantu, jika ada ia mungkin lebih membantu.

Lee turut bersetuju, dan menambah: “Anda perlu mempunyai semangat untuk menyumbang dan tidak mementingkan diri. Tetapi saya tidak kata semuanya hanya memberi dan tidak menerima. Jom masuk untuk rasa keseronokan – ia lebih baik jika anda orang yang senang bergaul.”