- Iklan -
Berita

Tarif elektrik kekal 6 bulan lagi, kata menteri

Rebat 2 sen per kilowatt seperti sebelum ini akan dinikmati bagi semua pengguna bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2021.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pemberian rebat akan memanfaatkan 70.5 juta pengguna domestik. Gambar: Bernama
Pemberian rebat akan memanfaatkan 70.5 juta pengguna domestik. Gambar: Bernama

Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan untuk mengekalkan tarif elektrik pada kadar yang sama bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2021, kata  Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, pemberian rebat ini akan memanfaatkan 7.5 juta pengguna domestik.

“Rebat 2 sen per kilowatt jam seperti sebelum ini akan dinikmati bagi semua pengguna bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2021.

“Dengan pemberian rebat ini memanfaatkan 7.5 juta pengguna domestik yang akan dinikmati di antara 3.6%-9.2%,” katanya pada satu sidang media khas di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Shamsul ini merupakan inisiatif tambahan untuk rakyat yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan kesan daripada pandemik Covid-19.

Kali terakhir pengguna menikmati rebat adalah pada 2018 dan sejak itu semua hanya dikenakan surcaj, katanya.

“Keputusan yang dibuat kerajaan dan kementerian ini mengambil kira kadar semasa dan berharap agar pemberian rebat ini akan membantu meringkankan kos hidup rakyat yang terkesan berikutan penularan Covid-19.

“Rebat pertama kali dinikmati sejak Julai 2018 ini akan dinikmati oleh semua pengguna TNB domestik dan bukan domestik.”

Menurut Shamsul, sehingga 31 Oktober lalu, kira-kira 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung menikmati diskaun bil elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE), melibatkan peruntukan berjumlah RM1.9 bilion.

Katanya, pakej Prihatin dan BPE dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu mengurangkan bil elektrik rakyat terutamanya pengguna domestik berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Shamsul, bagi mengurangkan beban peningkatan bil elektrik sepanjang tempoh PKP, pakej BPE tambahan diberikan kepada semua pengguna domestik di Semenanjung iaitu diskaun secara sekali beri sehingga RM77 sebulan atau RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP, iaitu bagi penggunaan elektrik dalam bulan April, Mei dan Jun 2020.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.