- Iklan -
Berita

Ucapan Krismas dibenarkan, cuma tidak boleh dipamer di premis sijil halal, kata Jakim

Jakim menjelaskan tiada larangan khusus untuk ucapan seperti 'Merry Christmas' pada produk.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ucapan 'Merry Christmas' tidak boleh dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal. Gambar: AFP
Ucapan 'Merry Christmas' tidak boleh dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal. Gambar: AFP

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan tiada larangan khusus untuk ucapan seperti “Merry Christmas” kepada produk yang disahkan sebagai halal akan tetapi ucapan seperti itu tidak boleh dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas seorang pegawai unit komunikasi Jakim mengesahkan kepada MalaysiaNow tentang larangan itu dengan merujuk kepada garis panduan pensijilan halal.

Tetapi dalam satu kenyataan Jakim mengatakan laporan itu tidak tepat.

“Ucapan perayaan adalah dibenarkan pada produk sekiranya ia dibuat bukan dengan tujuan untuk dipamerkan dalam premis yang dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal. Tiada larangan yang dikhususkan untuk perayaan selain Islam dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik),” kata jabatan itu dalam satu kenyataan sebagai respons kepada laporan MalaysiaNow.

Dokumen itu digunakan oleh jurucakap Jakim yang memberitahu MalaysiaNow komennya harus dipetik sebagai daripada unit komunikasi jabatan itu.

Jakim kemudian mengatakan dokumen itu digunakan sebagai rujukan pemohon dan pemegang sijil Halal Malaysia.

Terdahulu MalaysiaNow melaporkan mengenai sebuah kedai yang tidak dapat memenuhi permintaan pelanggannya untuk menulis ucapan “Merry Christmas” di atas kek yang dipesan untuk dihantar kepada seorang rakan.

Sebaliknya kek yang dihantar kepada penerima itu ditulis dengan ucapan “Selamat Bercuti”.

Pemilik kedai bakeri itu mengatakan terpaksa mematuhi peraturan yang ditetapkan Jakim sebagai salah satu syarat permohonan bagi mendapatkan sijil halal.

“Kedai kek itu tidak salah kerana ia sebahagian daripada peraturan,” kata seorang pegawai daripada unit komunikasi Jakim kepada MalaysiaNow pada awalnya.

Dia memetik peraturan membabitkan pelabelan yang dinyatakan dalam manual Jakim mengenai prosedur ke arah pensijilan halal.

“Pelabelan serta pengiklanan produk dan perkhidmatan hendaklah tidak menggunakan pernyataan, lambang, istilah atau nama yang berunsurkan keagamaan dan ketuhanan seperti nama-nama Allah, makanan sunnah, dewa dan sebagainya,” menurut dokumen yang dilihat oleh MalaysiaNow.

Ucapan “Merry Christmas” sering kali menjadi subjek perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia apabila segelintir golongan pendakwah melarang orang Islam mengucapnya kerana ia dikatakan memuja agama Kristian.

Jakim merupakan badan tunggal dalam menganugerahkan sijil halal kepada barangan dan makanan serta restoran di seluruh negara.

Pada masa lalu, pengkritik bertindak mempersoalkan beberapa syarat yang ditetapkan Jakim kepada pengeluar makanan dan francais yang ingin memperoleh sijil perakuan halal, termasuk melarang pengunaan nama-nama tertentu pada produk tersebut.

Francais terkemuka Auntie Anne’s dan restoran makanan segera A&W pernah dipaksa menukar nama produk terkenal mereka kerana syarat ditetapkan Jakim melarang pengunaan perkataan seperti “dog” dan “beer” pada menu mereka.

Disebabkan itu, Auntie Anne’s menamakan semula produk “pretzel dog” kepada “pretzel sausage”, manakala A&W terpaksa menukar dua menu popular mereka yang dikenali seluruh dunia: Coney Dog dan Root Beer, menjadi Coney Chicken (atau Beef) dan RB.