- Iklan -
Berita

Menteri agama tampil perjelas isu ucapan perayaan atas kek

Ia hanya satu 'salah faham'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al Bakri. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al Bakri. Gambar: Bernama

Ucapan perayaan pada produk di dalam premis yang dipersijilkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah dibenarkan, asalkan ia bukanlah dibuat atas tujuan untuk dipamerkan, kata Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menjelas isu membabitkan ucapan “Merry Chirstmas” pada kek seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaNow semalam hanya satu “salah faham”.

“Ringkasnya, jika kedai B yang ada sijil halal Jakim buat kek dengan ucapan perayaan pada kek untuk tujuan pameran (display) di dalam premis, ia tidak dibenarkan …

“… tetapi jika Kedai B menyediakan kek yang ditempah A dan ada ucapan perayaan pada kek, ia dibenarkan,” jelasnya dalam satu siri ciapan di Twitter.

Tambahnya, beliau berharap penjelasan ini boleh meleraikan salah faham.

“Saya berharap penganut Kristian di Malaysia dikurniakan keamanan, kesihatan, kegembiraan dan kekayaan pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Malaysianow semalam melaporkan seorang lelaki terkejut apabila permintaannya untuk menulis ucapan Merry Christmas di atas sebiji kek ditolak kedai berkenaan untuk mematuhi syarat di dalam proses untuk mendapatkan sijil halal Jakim.

Akhirnya kek itu dihantar kepada penerima dengan tulisan ucapan “Selamat Bercuti”.

Ucapan Merry Christmas sering kali menjadi subjek perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia apabila segelintir golongan pendakwah melarang orang Islam mengucapnya kerana ia dikatakan memuja agama Kristian.

Jakim merupakan badan tunggal dalam menganugerahkan sijil halal kepada barangan dan makanan serta restoran di seluruh negara.

Pada masa lalu, pengkritik bertindak mempersoalkan beberapa syarat yang ditetapkan Jakim kepada pengeluar makanan dan francais yang ingin memperoleh sijil perakuan halal, termasuk melarang pengunaan nama-nama tertentu pada produk tersebut.

Francais terkemuka Auntie Anne’s dan restoran makanan segera A&W pernah dipaksa menukar nama produk terkenal mereka kerana syarat ditetapkan Jakim melarang pengunaan perkataan seperti “dog” dan “beer” pada menu mereka.

Disebabkan itu, Auntie Anne’s menamakan semula produk “pretzel dog” kepada “pretzel sausage”, manakala A&W terpaksa menukar dua menu popular mereka yang dikenali seluruh dunia: Coney Dog dan Root Beer, menjadi Coney Chicken (atau Beef) dan RB.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.