- Iklan -
Berita

Walaupun hilang pekerjaan, rakyat Malaysia masih sukar terima kerja ‘kotor’

Stigma sosial mengenai pekerjaan kotor, bahaya dan sukar masih menebal walaupun dalam keadaan ekonomi pandemik.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Iklan kerja kosong di hadapan sebuah premis peruncitan terkemuka di Pandan Jaya, Kuala Lumpur. Biarpun banyak peluang pekerjaan disediakan, terdapat beberapa jenis pekerjaan yang tidak digemari rakyat Malaysia.
Iklan kerja kosong di hadapan sebuah premis peruncitan terkemuka di Pandan Jaya, Kuala Lumpur. Biarpun banyak peluang pekerjaan disediakan, terdapat beberapa jenis pekerjaan yang tidak digemari rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia dilihat masih tidak berminat untuk terlibat dalam pekerjaan 3D atau kotor (dirty), bahaya (dangerous) dan sukar (difficult), walaupun berpuluh-puluh ribu pekerja dilaporkan hilang pekerjaan tahun ini, disebabkan stigma sosial terhadap kerjaya itu masih tidak berubah, kata beberapa pakar.

Walaupun kerja pembersihan, memungut sampah, pembinaan dan mengawal bangunan menjadi keperluan penting dalam fungsi sosial dan ekonomi, pekerjaan ini turut dikaitkan dengan kelas rendah.

Menurut pakar ekonomi Madeline Berma sejak beberapa dekad, sektor-sektor itu dimonopoli warga asing kerana warga tempatan menjauhkan diri, dan keadaan itu dilihat tidak akan berubah dalam masa terdekat.

“Kita masih bergantung kepada pekerja asing,” kata Madeline, dari Universiti Kebangsaan Malaysia kepada MalaysiaNow.

Secara ringkasnya, terdapat beberapa jenis pekerjaan yang tidak digemari rakyat Malaysia, walaupun mereka tidak memiliki kelayakan akademik atau apa-apa sekalipun.

Namun, tidak berpendidikan sebenarnya bukan satu masalah dalam isu ini, kata Madeline.

Menurutnya, tenaga kerja tempatan sebenarnya lebih berpendidikan sejak sedekad yang lalu dengan ramai berjaya menempatkan diri dalam sektor pekerjaan mahir dan separa mahir.

“Kita masih bergantung kepada pekerja asing,” kata Madeline, dari Universiti Kebangsaan Malaysia kepada MalaysiaNow.

Ini membuka ruang kepada pekerja asing untuk mengisi jurang yang wujud dalam kategori pekerjaan 3D.

Dengan kemerosotan ekonomi dan perubahan dalam dasar melibatkan pekerja asing, sumber tenaga kerja dalam sektor ini turut mula terjejas.

Statistik daripada Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menunjukkan berlaku penurunan jumlah pekerja asing dalam negara ini daripada dua juta orang pada 2019 kepada 1.68 juta tahun ini. Bagaimanapun yang masih kekal adalah deskripsi pekerjaan mereka: kotor, bahaya dan sukar.

‘Penduduk tempatan tidak tahan lama’

Dengan ramai pendatang asing tanpa izin ditangkap dan ditahan dalam depoh imigresen, beberapa industri seperti pembuatan sarung tangan dan perladangan kelapa sawit menghadapi kekurangan tenaga kerja yang ketara.

Ini bermaksud berlaku banyak kekosongan untuk pekerjaan berkemahiran rendah.

Hingga kini kekosongan itu masih belum diisi, dengan pandemik Covid-19 terus mengangggu perniagaan dan ekonomi.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan baru-baru ini mengatakan hampir 100,000 pekerja hilang pekerjaan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada Oktober lalu.

Kira-kira satu per tiga pencari kerja pula dilaporkan mendapat pekerjaan dalam tempoh sama.

Awal tahun ini, pekerja asing dilarang untuk bekerja di pasar borong di Kuala Lumpur berikutan lonjakan kes Covid-19.

Para peniaga disaran untuk mengupah pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan itu. Larangan sama juga dilaksanakan di pasar-pasar basah di Selangor melibatkan pekerja asing.

Tetapi pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata walaupun penduduk tempatan mula menerima pekerjaan yang sebelum ini dianggap tidak boleh diterima, mereka bagaimanapun tidak kekal lama.

Beliau memberikan contoh pasar borong Selayang di mana sesetengah pekerja tempatan bertahan tidak sampai seminggu sebelum berhenti.

Kadar pemberhentian pekerja yang tinggi ini menyukarkan para majikan untuk meneruskan perniagaan mereka, katanya kepada MalaysiaNow.

Menurutnya keutamaan diberikan kepada penduduk tempatan, “terutamanya sekarang, sejak pengambilan pekerja asing dibekukan”.

Pekerjaan di sektor seperti peladangan dan tapak pembinaan tidak pernah berjaya menarik minat penduduk negara ini, tambahnya.

Shamsuddin berkata, menjenamakan semula beberapa sektor pekerjaan itu dan memberikan ia nama baru mungkin dapat membantu mengubahnya.

Sebagai contoh, katanya pengawal keselamatan mungkin boleh dikenali sebagai polis bantuan bagi mewujudkan daya tarikan dan mengurangkan stigma sosial.

“Terdapat juga keperluan untuk memperkenalkan teknologi baru bagi menambah daya tarikan pekerjaan sedia ada,” katanya.

Bagi Madeline, menawarkan insentif menarik turut membantu.

“Dalam jangka pendek, kerajaan perlu menyediakan insentif dan kadar upah yang tinggi untuk rakyat Malaysia berkemahiran rendah terlibat dalam pekerjaan 3D ini,” katanya.

Namun, dalam jangka panjang, kerja-kerja itu mungkin akan diambil alih oleh automasi dan robot, tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.