Tindakan majikan dan pemegang saham yang hanya ingin mengaut keuntungan antara sebab utama kegagalan dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan berkaitan penyediaan asrama untuk pekerja asing, kata seorang aktivis hak asasi di sebalik peningkatan kes Covid-19 melibatkan kluster tempat kerja di seluruh negara.
Lonjakan kes harian yang mencecah empat digit kebelakangan ini, mula menimbulkan kebimbangan terhadap komuniti pekerja asing kerana asrama yang sesak menyukarkan usaha membendung penularan pandemik.
Awal bulan ini, kerajaan mendedahkan asrama tempat tinggal melibatkan kira-kira 91.1% atau 1.4 juta pekerja asing dalam negara ini tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan undang-undang buruh.
Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengatakan kerajaan menerima permohonan Perakuan Penginapan membabitkan hanya 143,587 setakat 31 Oktober lepas. Ia hanya sebilangan kecil daripada jumlah pekerja asing yang didaftarkan di negara ini.
Adrian Pereira, pengarah eksekutif Inisiatif Utara-Selatan mengatakan ketidakpatuhan terhadap undang-undang buruh bukanlah perkara baru di negara ini.
“Kebajikan pekerja asing tidak pernah menjadi sebahagian daripada agenda mereka,” katanya kepada MalaysiaNow, merujuk kepada para majikan yang bersalah.
“Pekerja asing sepatutnya mengisi jurang dalam pasaran buruh, bukan mengganti atau menyingkirkan penduduk tempatan,” tambahnya.
Kemudahan asas
Kemudahan asas melibatkan tempat tinggal pekerja asing dijelaskan secara terperinci dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.
Akta 446 menetapkan katil tidak kurang daripada 1.7 meter persegi sama ada katil bujang atau bertingkat, tilam yang tebalnya tidak kurang daripada empat inci, bantal dan selimut, almari berkunci untuk menyimpan barang-barang berharga seperti pasport atau dokumen pengenalan diri.
“Kebajikan pekerja asing tidak pernah menjadi sebahagian daripada agenda mereka,” katanya kepada MalaysiaNow, merujuk kepada para majikan yang bersalah.
Kemudahan asas lain termasuk menghadkan jumlah pekerja yang dibenarkan berkongsi tempat tinggal.
Sebagai contoh, maksimum enam pekerja dibenarkan untuk tinggal dalam kawasan seluas 1,500 kaki persegi.
Jumlah maksimum pekerja yang dibenarkan berkongsi bilik air dan tandas adalah enam orang dalam satu bilik selain penginapan asrama yang dihadkan kepada 15 orang.
Hasil semakan MalaysiaNow dalam platform beli-belah dalam talian mendapati seunit katil bujang dan tilam berharga kira-kira RM170.
Sebiji bantal dan selimut RM15 setiap satu manakala almari berkunci boleh mencecah sehingga RM200 sebuah.
Jumlah keseluruhan kesemua barangan itu kira-kira RM400 untuk seorang pekerja.
Namun, menurut Saravanan, kerajaan hanya menerima 8.89% permohonan Perakuan Penginapan daripada 1.6 juta pekerja asing di negara ini.
‘Keadilan’
Pereira mengatakan majikan mempunyai masa mencukupi untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan, tetapi gagal berbuat demikian. Ia menunjukkan Malaysia terbuka untuk perniagaan “menggunakan undang-undang rimba”.
Beliau berkata, banyak laporan mengenai buruh paksa dibangkitkan melibatkan hampir kesemua sektor ekonomi, dan ia menunjukkan masalah itu menjadi sistematik.
Beliau juga menyentuh soal kelemahan penguatkuasaan undang-undang, yang bermaksud majikan hanya akan mematuhi peraturan secara minimum atau langsung tidak.
“Dahulu, terdapat insiden kematian mengejut melibatkan pekerja asing ketika tidur.
“Walaupun siasatan mengenai punca kejadian itu dijalankan, salah satu faktor berkemungkinan berpunca daripada kelemahan pengudaraan tempat tinggal yang kurang baik dan keadaan tempat tidur tidak kondusif bagi pekerja asing untuk berehat selepas bekerja 12 hingga 16 jam,” katanya.
Pereira menyeru supaya keadilan dilaksanakan buat para pekerja ini dan mengatakan Malaysia tidak perlu menunggu sehingga ada campur tangan “pihak luar”.
“Walaupun pihak Amerika cuba mendisiplinkan kita melalui laporan tahunan mengenai pemerdagangan orang (US TIP Report), kita tidak boleh menunggu pihak luar memberi tekanan kepada kita untuk melayan pekerja asing dengan maruah,” katanya, dengan merujuk kepada laporan pemerdagangan orang yang merupakan sebahagian daripada usaha Washington untuk melibatkan kerajaan asing mengenai pemerdagangan manusia.
“Ia perlu dilakukan kerana ia melibatkan prinsip dan nilai kita sendiri.”