Pemerintah Singapura mengatakan wakil diplomatnya di China tidak dapat melawat dua warganegara republik ini yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan berkaitan dadah sejak pandemik Covid-19 bermula, dan kini maklumat mengenai kes yang membawa kepada penangkapan pasangan itu lima tahun lalu mula diperoleh.
Ia berikutan salah seorang daripada tahanan mendakwa tidak pernah dilawati wakil pemerintah Kota Singa itu sejak lebih setahun lalu.
Kementerian luar negeri Singapura mengatakan, konsulat jeneral di wilayah Guangdong melawat secara berkala untuk melihat keadaan Siti Aslinda Junaidi dan Mohd Yusri Mohd Yussof sebelum berlaku penularan Covid-19.
Aslinda, 35 dan Yusri, 44, didapati bersalah oleh mahkamah pada Julai lalu kerana mengedar dadah dan dijatuhi hukuman mati.
Aslinda baru-baru ini mendedahkan dalam sepucuk surat mengatakan konsulat jeneral Singapura tidak lagi datang melawatnya sejak 15 bulan lalu.
“Saya tidak tahu kenapa. Rasa amat risau di sini.” tulis Aslinda dalam sepucuk surat kepada anaknya yang dilihat oleh MalaysiaNow.
Sementara itu, lebih banyak maklumat mengenai kesnya diperoleh melalui dokumen mahkamah yang dilihat oleh CNN.
Laporan itu mengatakan hukuman yang diterima Yusri mungkin boleh diringankan kepada penjara seumur hidup, tetapi Aslinda yang dilihat sebagai pesalah utama dalam kesalahan jenayah itu mungkin menghadapi hukuman tembak sampai mati jika gagal dalam rayuan dilakukannya.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat CNN, Aslinda dikatakan berkenalan dengan seorang lelaki dalam talian pada 2014, yang menawarkannya antara RM8,000 (AS$2,000) hingga RM12,000 (AS$3,000) bagi menghantar barangan seperti beg tangan, katrij toner ke China dan Kemboja.
Pada 24 Oktober 2015, pihak kastam di Shenzhen menemui 28 beg tangan wanita bersama 11 kilogram methamphetamine yang dijahit di dalam pelapik beg. CNN berkata dadah itu dianggarkan bernilai AS$ 220,000 atau RM893,309 di Amerika Syarikat.
Tambah laporan itu lelaki yang menawarkan Aslinda kerja dikenali sebagai Chibuzor Onwuka, tetapi tidak dijelas sama ada dia sudah ditangkap, dengan dokumen mahkamah mengatakan kesnya “dikendalikan secara berasingan”.
Aslinda kini sedang menanti keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi Guangdong.
Pada malam menjelang Krismas, peguamnya dari Singapura M Ravi, seorang pejuang hak asasi manusia terkemuka di Kota Singa itu mengatakan dia akhirnya berjaya mencari seorang peguam di China yang sanggup memberikan perkhidmatan secara pro bono.
“Mengupah peguam di China sangat mahal. Sesetengah mereka meminta bayaran yang tidak masuk akal,” tambahnya dalam satu catatan Facebook baru-baru ini.
Berita mengenai Aslinda tidak pernah dilaporkan media arus perdana di Singapura sehingga semalam, menerusi laporan oleh The Straits Times.
Ravi mengatakan terdapat kemajuan dicapai dalam usaha memberikan bantuan perundangan kepada Aslinda selepas laporan oleh CNN.
“Peguam pro bono ke hadapan selepas laporan CNN petang ini – kuasa media dunia!” tulisnya dalam Facebook.
Pada 15 Disember, anak perempuan Aslinda berusia 17 tahun, Ismiraldha MalaysiaNow terdapat kekurangan dokumentasi dalam kes melibatkan ibunya.
“Apa yang boleh saya katakan, kejadian itu berlaku ketika saya baru berusia 12 tahun. Saya tidak berapa pasti mengenainya.
“Tapi apa yang saya pasti sejak sekian lama tiada apapun dilakukan,” kata Ismiraldha.
Dalam sepucuk surat tulisan tangan yang dikirim kepada Ismiraldha bulan lepas, Aslinda memberitahu anaknya bahawa hukuman yang diterimanya “tidak adil”.
“Saya perlu perjuangkan hak saya walau apa jua cara sekalipun. Saya tahu ia terlalu sukar untuk diterima dan saya akan melakukan sesuatu mengenainya,” tulis Aslinda.