Kerajaan memberi komitmen akan menangani isu pengimportan daging yang diragui secepat mungkin, termasuk menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasatnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perbincangan mengenainya telah dimulakan.
Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), serta bahagian Pengurusan Halal Jakim, dan beberapa kementerian untuk melihat sekiranya terdapat mana-mana kelemahan untuk dibaiki.
“Saya janji tindakan segera akan diambil dalam piawaian dan bidang kuasa Jakim, di samping kita bekerjasama erat dengan kementerian lain, Insya-Allah secara bersepadu.
“Selepas itu, baru kita tahu apa penyakit-penyakit (masalah) yang perlu diubati (ditangani) khususnya dalam isu pengimportan daging, sama ada ikut SOP (Prosedur Operasi Standard) halal atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pengimport daging sejuk beku Lucky Frozen Sdn Bhd, Segambut hari ini.
Sebelum ini pelbagai pihak menggesa supaya satu RCI ditubuhkan bagi menyiasat isu kartel import daging haram menggunakan logo halal yang didedahkan oleh media baru-baru ini.
Ia mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo Halal di sebuah gudang di Senai, Johor.
Mengulas lanjut mengenai RCI, Zulkifli memohon supaya diberikan masa untuk berbincang mengenainya terlebih dahulu.
“Saya tidak kata perlu, saya tak kata tidak. Sebab perkara ini saya perlu dalami lebih baik lagi, tetapi saya tidak akan ambil masa lama, dalam masa dua tiga hari atau seminggu ini untuk kita lihat respons dan maklumat apakah perkara-perkara yang kita boleh tangani secepat mungkin,” katanya.