Seorang bapa tunggal kepada tiga orang anak warganegara Singapura berumur 40 tahun berdepan hukuman suntikan maut di Vietnam, satu lagi kes melibatkan rakyat republik itu melanggar undang-undang bersabit kesalahan dadah di luar negara.
Di Singapura, pemerintah negara itu turut mempertahankan hukuman berat bagi kesalahan jenayah yang sama.
Kes melibatkan Cher Wei Hon kini dikendalikan oleh seorang peguam Singapura, M Ravi, selepas ahli keluarga pesalah menghubungi aktivis hak asasi itu susulan berita mengenai penglibatannya dalam satu lagi kes membabitkan warga republik itu yang dijatuhi hukuman mati di China.
“Ahli keluarga Cher menghubungi saya selepas kes Aslinda mendapat perhatian ramai,” kata Ravi, merujuk kepada kes Siti Aslinda Junaidi yang berkemungkinan berdepan hukuman tembak sampai mati sekiranya dia gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi Guangdong.
Cher didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di wilayah Tay Ninh di selatan Vietnam pada Ogos tahun ini, sebulan selepas dia ditangkap di sempadan Vietnam-Kemboja.
Ravi berkata setakat ini Cher belum diwakili mana-mana peguam untuk menasihatinya mengenai proses rayuan.
“Mereka tak pasti sama ada dia mempunyai peguam semasa perbicaraannya,” katanya.
“Saya bersetuju mengambil kes ini secara pro bono kerana kerana dia mempunyai tiga orang anak yang masih kecil dipelihara oleh ibunya yang sedang sakit.”
Tambahnya, beliau juga sudah menghubungi peguam hak asasi manusia di Vietnam berhubung kes ini “dan berharap dapat menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat.”
Difahamkan, Cher disuruh seorang wanita di Vietnam untuk membawa hampir 10kg methamphetamine dari Kemboja ke Vietnam bagi melunaskan bayaran hutang kira-kira AS$8,600 atau RM34,800 kepada wanita itu.
Menurut laman berita Tuoi Tre News Vietnam, bagi setiap perjalanan yang berjaya, wanita itu akan menolak antara RM2,020 hingga RM4,040 daripada jumlah hutang.
Ravi, suara lantang yang mengkritik pemerintah mewakili beberapa tahanan yang menanti hukuman mati di Singapura mengatakan kes melibatkan Cher merupakan satu lagi contoh bagaimana golongan miskin menjadi sasaran hukuman mati.
“Sebelum Cher benar-benar didapati bersalah, adalah penting buat dirinya diwakili peguam dan melalui proses yang adil sebelum dijatuhi hukuman,” tambahnya.
Baru-baru ini, Ravi mendedahkan penderitaan Aslinda di Shenzen selepas ditangkap ketika membawa dadah untuk seorang lelaki yang dikenali dalam talian.
Lelaki itu menawarkannya antara RM8,080 hingga RM12,120 untuk membawa barangan seperti beg tangan dan katrij toner antara China dan Kemboja.
Media arus perdana Singapura sebelum ini tidak melaporkan penderitaan Aslinda sehinggalah baru-baru ini kisahnya dipaparkan CNN, yang melihat dokumen makhamah mendedahkan butiran mengenai perbicaraan kes terbabit.
Awal bulan ini, anak perempuan Aslinda, Ismiraldha yang berusia 17 tahun memberitahu MalaysiaNow terdapat kekurangan dokumentasi terhadap kes ibunya, dan dalam sepucuk surat yang dikirim mengatakan tiada seorang pun wakil daripada konsulat jeneral Singapura di Guangdong datang melawat selama lebih setahun di sana.
Pemerintah Singapura kemudian mengatakan para pegawainya tidak dapat bertemu Aslinda selepas penularan pandemik Covid-19 bermula.