- Iklan -
Berita

Covid-19: Malaysia menuju ke arah negara kebajikan?

Bantuan kewangan meningkatkan ketergantungan rakyat kepada kerajaan.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur sejak awal pagi untuk urusan sistem aplikasi i-akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum mendaftar secara atas talian untuk permohonan i-Sinar di Pejabat KWSP Cawangan Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan tahun lalu.
Orang ramai beratur sejak awal pagi untuk urusan sistem aplikasi i-akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum mendaftar secara atas talian untuk permohonan i-Sinar di Pejabat KWSP Cawangan Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan tahun lalu.

Pengumuman demi pengumuman kerajaan mengenai pelbagai jenis bantuan bagi megurang impak Covid-19 dilihat membuka jalan kepada Malaysia untuk menjadi sebuah negara kebajikan, walaupun apa yang diberi itu mungkin diperlukan, kata seorang sosiologi politik ketika ramai ingin menutup buku tahun pandemik yang menyebabkan pekerja hilang pekerjaan, gaji dipotong dan syarikat gulung tikar dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

Inisiatif bagi membantu golongan miskin tegar bukan perkara baru dan sudah dilaksanakan sejak berdekad lalu, tetapi pada tahun ini menyaksikan pelbagai skim dan pakej rancangan diperkenalkan sejurus pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, yang menyaksikan semua sektor kecuali perkhidmatan penting ditutup sebagai satu usaha bagi mengekang Covid-19.

Satu demi satu bantuan diumumkan seperti pemberian moratorium pinjaman, Bantuan Prihatin Nasional dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, dan pada masa sama pandemik Covid-19 terus menerus membadai ekonomi yang sememangnya sudah goyah.

Sivamurugan Pandian, yang merupakan seorang profesor di Universiti Sains Malaysia memberitahu MalaysiaNow semua bentuk bantuan yang diberikan terutama kepada golongan yang amat memerlukan, “sebenarnya” menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kebajikan.

“Ketika krisis, orang ramai kebiasaannya akan meminta bantuan dan mahu kerajaan menyelesaikan masalah mereka. Mereka mahu kerajaan memahami keperluan, tuntutan dan apa yang mereka fikirkan,” katanya.

Namun, beliau memberi peringatan usaha yang dilakukan kerajaan akan menyebabkan bebanan kewangan kerana rakyat akan bergantung kepada tambahan bantuan kewangan, yang akan memaksa kerajaan terus memberikan bantuan.

Sebagai tambahan kepada perbelanjaan melibatkan pelan menyelamat Covid-19, hutang negara yang mengembang kepada RM874.27 bilion.

Kerajaan juga diminta untuk menambah bantuan-bantuan kepada rakyat disebabkan pandemik masih berlanjutan baik di dalam negara dan di seluruh dunia.

Pakar-pakar termasuk daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pendemik Covid-19 tidak akan lenyap dalam masa terdekat, walaupun dengan program pemvaksinan yang sedang dilakukan di seluruh dunia, termasuk di negara jiran Singapura.

Penduduk yang mungkin paling teruk terjejas disebabkan ketidaktentuan ekonomi yang menyebabkan masalah kesihatan awam adalah mereka daripada golongan M40 dan B40.

Sivamurugan mengatakan bantuan kewangan yang diberikan kepada mereka yang memerlukan mungkin akan berterusan.

Namun, katanya orang ramai juga perlu mengambil inisiatif sendiri dengan mencari jalan bagi membantu kedudukan kewangan mereka.

“Intervensi yang diberikan harus dilihat sebagai langkah sementara dan bukan kekal,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tetapi ahli ekonomi Lee Hwok Aun, felow kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura, mengatakan tidak ada yang perlu dirisaukan mengenai bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan.

Katanya, bantuan itu membabitkan soal kelangsungan hidup dan menjaga keperluan asas kehidupan setiap rakyat.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau mengatakan kerajaan perlu terus bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan rakyat dan penduduknya sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial global.

Tambahnya, kenaikan kos upah tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup, manakala perubahan dalam industri dan pasaran kerja membuatkan pekerja lebih terdedah.

“Dalam beberapa aspek, masih terdapat kekurangan membabitkan kebajikan sosial di Malaysia,” katanya.

“Pandemik mendedahkan kerentanan kepada kebanyakan isi rumah membabitkan kebajikan sosial, dan kekurangan sumber swasta untuk membantu. Ia adalah kepentingan nasional, bukan sekadar satu kewajipan sosial, untuk masyarakat membantu kumpulan rentan.”

Bagaimanapun tambahnya, bantuan sosial perlu dirancang dengan baik, kena pada sasaran dan dilaksana dengan berkesan.

Sivamurugan senada dengan keperluan melindungi golongan kurang berkemampuan ketika krisis seperti apa yang berlaku sekarang melibatkan Covid-19, asalkan sistem penyampaian bantuan kewangan dapat membantu mereka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.