- Iklan -
Berita

Kenali lelaki yang mengambil tempat Dr Mahathir

Dr Mohamed Yacob Dawood watak di sebalik nama Klinik Maha selepas ketiadaan Dr Mahathir.

Syahrin Abdul Aziz
2 minit bacaan
Kongsi
Klinik Maha dikendalikan oleh Dr Mohamed Yacob Dawood yang dahulu merupakan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur.
Klinik Maha dikendalikan oleh Dr Mohamed Yacob Dawood yang dahulu merupakan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur.

Dr Mohamed Yacob Dawood merupakan seorang doktor kerajaan yang berusia 33 tahun ketika dijemput oleh Dr Mahathir Mohamad untuk bekerja di kliniknya di Alor Setar, Kedah.

Mungkin tak pernah terdetik di hatinya bosnya itu akan menjadi salah seorang pemimpin era moden Malaysia yang terkenal, memimpin negara selama lebih dua dekad dan kembali menjawat jawatan sama 15 tahun kemudian.

Pada 1974, dua tahun selepas Yacob memulakan tugasnya di Klinik Maha di Pekan Melayu di bandar itu, Mahathir bertanding dalam pilihan raya atas tiket Barisan Nasional di Kubang Pasu.

Malah pada ketika itu, Mahathir amat dikenali kerana aktif menyertai perbahasan politik negara.

Kritikannya terhadap kerajaan Umno, yang dipimpin Tunku Abdul Rahman mendatangkan masalah kepadanya dan menyebabkan Mahathir dipecat daripada parti.

Selepas memenangi pilihan raya pada 1974, Mahathir dilantik menyertai Kabinet sebagai menteri pendidikan yang pada ketika itu Abdul Razak Hussein merupakan perdana menteri.

Ketika itulah Mahathir membuat keputusan untuk berhenti daripada bidang perubatan.

“Pada 1974, apabila beliau memenangi pilihan raya dan menjadi menteri pendidikan, beliau tinggalkan saya bersendirian dan pergi ke Kuala Lumpur,” Yacob memberitahu MalaysiaNow ketika melawat Klinik Maha, yang merupakan klinik Melayu swasta pertama di Kedah, ditubuhkan oleh Mahathir pada 1957.

Klinik itu kemudian berpindah ke pusat bandar pada 1980, kira-kira setahun sebelum Mahathir dilantik sebagai perdana menteri keempat.

Disebabkan bekas bosnya mengejar cita-cita politik di Kuala Lumpur, Yacob ditinggalkan keseorangan menguruskan Klinik Maha.

“Beliau adalah bos sebenar saya. Bossku lah,” selorohnya.

Mahathir menjadi perdana menteri sebanyak dua kali, pertama pada 1981 ketika usianya 56 tahun dan kemudian pada 2018 ketika itu beliau 93 tahun, menjadikannya sebagai pemimpin tertua di dunia.

Mahathir juga merupakan orang Melayu pertama diterima masuk ke Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura, dan menamatkan pengajian pada 1953.

Dalam kebanyakan wawancara dan penulisan, Mahathir menerapkan gaya urus tadbir seperti dalam latihan perubatan, mengatakan sesuatu masalah itu perlu didiagnos terlebih dahulu sebelum diberikan ubat.

Dua pelanggan yang hadir ke Klinik Maha yang terletak di Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar untuk mendapatkan rawatan.

Ia pernah dicabar oleh pengkritik yang mengatakan beberapa keputusan kontroversi Mahathir selama beberapa tahun yang mereka dakwa sebagai punca merosakkan institusi perundangan negara.

Hari ini, pada usia 95 tahun, Mahathir mengetuai parti Pejuang, mewakili sekumpulan kecil ahli Parlimen yang berpisah daripada Bersatu, sebuah parti yang beliau mengasaskan bersama-sama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tetapi sepanjang tahun ini, ketika bekas bosnya mengalami turun naik dalam politik, Yacob kekal berada di pejabatnya ditemani kawasan penyambut tetamu menggunakan panel venir, lorong sempit dan dengan pintu berayun sama seperti di klinik lain seluruh negara.

Terdapat sebaris kerusi disediakan untuk menyambut tetamu yang hadir tanpa temu janji, dan potret Mahathir yang diambil ketika beliau menjadi perdana menteri masih tergantung di dinding.

Kedua-dua mereka masih bertemu setiap kali Mahathir pulang ke Kedah.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya ketika berbuka puasa, bukan puasa tahun ini, tetapi tahun sebelum itu (2019),” kata Yacob.

Rasa bangga Yacob terhadap Mahathir turut dikongsi oleh Mercy Samuel, yang merupakan jururawat di Klinik Maha sejak 40 tahun lepas.

Walaupun dia hanya menyertai selepas Mahathir keluar, Mercy tetap rasa bangga dapat bekerja di sebuah tempat yang penuh dengan legasi.

“Tahun-tahun yang saya lalui di klinik ini adalah kerana Tun Mahathir,” katanya.

“Saya amat kagum dengan beliau, dan disebabkan itu saya telah bekerja di sini sejak 1979.”