- Iklan -
Berita

‘Musim sejuk’ melanda seluruh negara

Musim tengkujuh yang bermula pada 11 November lepas dijangka akan berlanjutan hingga Mac ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan awan gelap berikutan Monsun Timur Laut ketika tinjauan di Kampung Pengkalan Maras, di Kuala Nerus hari ini.Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman sesawang mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Selasa ini (5 Januari). Gambar: Bernama

Baru memasuki hari ketiga di tahun baru, rakyat Malaysia mulai merasai cuaca sejuk apabila merata tempat hari ini dilanda hujan, langit mendung dan diselubungi kabus di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Suhu di sekitar Lembah Klang hari ini turun sehingga 23 darjah selsius, antara yang terendah dalam beberapa bulan ini apabila negara dilanda cuaca sejuk akibat musim Monsun Timur Laut, yang dikenali juga sebagai “musim sejuk”.

Menurut Tinjauan Cuaca Jangka Panjang di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), musim tengkujuh yang bermula pada 11 November lepas dijangka akan berlanjutan hingga Mac ini.

“Selama tempoh ini, negara akan menerima tiupan angin Timur Laut yang stabil dengan angin kencang sekali-sekala dengan kelajuan antara 10 dan 20 kilometer sejam.

“Hujan lebat berturut-turut dijangka berlaku terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah,” menurut kenyataan di laman sesawang itu.

Suhu di sekitar Lembah Klang hari ini turun sehingga 23 darjah selsius, antara yang terendah dalam beberapa bulan ini apabila negara dilanda cuaca sejuk akibat musim Monsun Timur Laut, yang dikenali juga sebagai “musim sejuk”.

Jabatan itu juga memberi amaran, hujan lebat berterusan selama beberapa hari boleh menyebabkan berlaku banjir di kawasan rendah yang sering banjir, dengan risiko banjir menjadi teruk jika hujan beberapa hari disertai air pasang.

Di samping itu, angin kencang Timur Laut yang berterusan dan kuat akan menyebabkan laut bergelora dan gelombang besar berlaku di perairan Laut China Selatan.

MetMalaysia melaporkan kebanyakan bandar di seluruh negara akan mengalami hujan berterusan hari ini dengan suhu minimum dicatatkan di Cameron Highlands pada 17 darjah selsius diikuti oleh Kluang (22 darjah selsius) sementara Kuala Lumpur, Temerloh, Kuala Pilah, Batu Pahat dan Kuantan pada 23 darjah selsius.

Sebilangan pengguna media sosial menyatakan kegembiraan mereka dengan keadaan cuaca sekarang, malah ada yang menyifatkan ia sebagai “musim sejuk”, tiba di Malaysia.

Seorang siswazah Aleya Abdullah, 24, yang kini menetap di Janda Baik, Pahang berkata dia tidak perlu menghidupkan kipas elektrik atau penghawa dingin sepanjang hari kerana cuaca semasa sudah cukup sejuk.