- Iklan -
Berita

Agong redah banjir lawat mangsa di Maran

Sultan Abdullah menasihati semua mangsa di pusat pemindahan banjir mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kenderaan pacuan empat roda yang dipandu sendiri Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika melalui KM113 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) yang masih ditenggelami banjir. Gambar: Facebook
Kenderaan pacuan empat roda yang dipandu sendiri Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika melalui KM113 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) yang masih ditenggelami banjir. Gambar: Facebook

Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di pusat permindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran 1.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Keberangkatan tiba Agong dan Raja Permaisuri Agong pada 12 tengah hari disambut Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Wan Rosdi Wan Ismail.

Bercakap selepas mendengar sembah taklimat situasi banjir di daerah itu, Sultan Abdullah menasihati semua mangsa di pusat pemindahan banjir agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan Covid-19 bagi mengelakkan wabak tersebut merebak di pusat pemindahan.

“Saya nak menasihatkan, walaupun keadaan kita susah (banjir), ini adalah dugaan dan saya bimbang kalau kita tidak patuh SOP mungkin akan jadi bebanan (jika berlaku penularan) kepada kita semua.

“Dalam keadaan banjir ini, khususnya di pusat pemindahan, semua harus patuhi SOP. Saya doakan keadaan di sini terus pulih,” katanya.

Yang di Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menguruskan bencana alam itu.

Mangsa-mangsa di pusat pemindahan turut menerima sumbangan.

Terdahulu, Sultan Abdullah yang memandu sendiri bersama konvoi Istana Negara ketika dalam perjalanan ke pusat pemindahan berkenaan turut meredah laluan di KM113 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) yang masih ditenggelami banjir.

Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 252 PPS dibuka di seluruh Pahang melibatkan 18,579 mangsa daripada 4,814 keluarga.