- Iklan -
Berita

MCA terkejut Annuar Musa dipecat sebagai setiausaha agung BN

Parti itu terkilan keputusan itu tidak dibincangkan bersama parti komponen lain melalui Dewan Tertinggi BN.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pemecatan itu hanya diketahui melalui laporan media awal hari ini. Gambar: AFP
Pemecatan itu hanya diketahui melalui laporan media awal hari ini. Gambar: AFP

MCA terkejut dengan makluman pemecatan setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa, yang hanya diketahui melalui laporan media awal hari ini.

Parti komponen BN itu terkilan kerana keputusan tersebut tidak pernah dibincangkan secara bersama dengan parti komponen lain ataupun melalui Dewan Tertinggi BN.

“Pada hemat parti MCA, sebarang pelantikan ke jawatan dalam BN, ianya perlu dibuat berlandaskan Perlembagaan BN dan secara konvensinya pencalonan ini haruslah dibentangkan serta dipersetujui secara konsensus di dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Begitu juga dengan sebarang pemecatan mana-mana pihak daripada jawatan seperti setiausaha agung dan bendahari agung BN,” tulis kenyataan itu.

Awal hari ini, BN memecat setiausaha agungnya, Annuar kerana dikatakan tidak selari dengan suara parti tunjangnya Umno dan dilihat cenderung “bersuara” untuk Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Jawatan itu kini diambil alih Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Sehingga kini, Annuar hanya menyeru ahli parti dan para penyokong untuk bertenang susulan perkhabaran tersebut dan enggan mengulas lanjut mengenainya,.

“Tempoh bertenang,” tulis ahli Parlimen Ketereh itu di Twitter.

Dalam ciapannya itu, Annuar turut memuat naikkan paparan skrin mesej yang dihantarnya kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“DS Presiden, saya diberitahu oleh media, saya dipecat sebagai SUA BN dan SU MN. Saya ucapkan terima kasih atas kesempatan berkhidmat dikedua-dua jawatan tersebut sebelum ini.”

Beliau dijangka mengadakan satu sidang media esok, di Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya sebagai respons terhadap keputusan itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.