- Iklan -
Berita

Projek HSR tak penting, kata Dr Mahathir

Jarak perjalanan 350km antara Kuala Lumpur dan Singapura itu hanya mampu menjimatkan masa yang sedikit.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dan pimpinan parti itu.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dan pimpinan parti itu.

Dr Mahathir Mohamad hari ini kelihatan bersetuju dengan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan projek kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Pentadbiran beliau sebelum ini pernah meminta untuk menangguhkan projek-projek mega yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memberi laluan kepada kajian dilakukan, mengatakan laluan kereta api laju itu tidak berdaya saing dari segi ekonomi.

“Saya daripada lama dulu pun tak fikir ni projek yang penting. Kita boleh tunggu 10 hingga 20 tahun lagi,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambahnya, jarak perjalanan 350km antara Kuala Lumpur dan Singapura itu hanya mampu menjimatkan masa yang sedikit berbanding sekarang.

Katanya, kos pembinaan yang tinggi dan mampu menelan sebanyak RM80 bilion itu juga tidak berbaloi untuk dilaksanakan.

“Kita tak akan dapat duit kita kembali,” tambah Mahathir.

Projek HSR dilancarkan pada tahun 2016 ketika zaman pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak, tetapi perjanjian terbatal dengan sendiri selepas Malaysia membiarkannya melepasi tarikh akhir pada 31 Disember 2020.

Malaysia perlu membayar sejumlah pampasan yang tidak didedahkan kepada Singapura.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.