- Iklan -
Berita

Lebih 47,000 mangsa banjir dipindahkan di 6 negeri

Pahang dan Terengganu mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Kampung Binjai menggunakan bot untuk keluar dari kawasan banjir di Kuala Lipis, Pahang.
Penduduk Kampung Binjai menggunakan bot untuk keluar dari kawasan banjir di Kuala Lipis, Pahang.

Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di beberapa negeri mencecah seramai 47,038 orang petang ini .

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di 290 pusat pemindahan meningkat sedikit kepada 27,090 orang setakat pukul 2.00 petang ini berbanding 27,073 mangsa pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan Temerloh merekodkan mangsa banjir tertinggi iaitu 10,882 orang diikuti Maran (3,515), Lipis (2,528), Jerantut (2,065), Raub (1,998), Kuantan (1,957), Pekan (1,880), Bera (1,264) dan Rompin (1,001).

Portal berkenaan turut memaklumkan paras air Sungai Pahang di Bera, Jerantut, Maran, Pekan dan Temerloh, melepasi tahap bahaya.

Sementara itu, Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad dalam laman Twitternya memaklumkan penutupan laluan di KM84.6 Karak-Temerloh menghala Timur, selain KM113 dan KM115 (Temerloh-Lanchang) masih belum dibuka sejak Selasa lalu. Turut ditutup, laluan di KM126 Chenor-Temerloh bagi kedua-dua arah.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 13,092 orang di 50 pusat pemindahan setakat 3 petang ini berbanding 12,899 orang pada 8 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 11,211 orang diikuti Dungun (1,745) dan Hulu Terengganu (136).

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan dua sungai di dua daerah masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di enam jajahan di Kelantan menunjukkan penurunan kepada 5,597 orang pada petang ini berbanding 6,319 orang pagi tadi dan ditempatkan di 66 pusat pemindahan.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 2 petang ini, Kuala Krai masih kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,837 orang diikuti Pasir Mas (1,680), Tanah Merah (537), Gua Musang (365), Jeli (156) dan Kota Bharu (22).

Portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan setakat pukul 2.00 petang ini, tujuh sungai di negeri itu merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang; Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai; dan Sungai Kelantan di Kuala Krai.

Di Johor, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di lima pusat pemindahan menurun kepada 1,259 orang setakat pukul 3.30 petang ini, berbanding 1,422 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata Kluang masih mencatatkan mangsa tertinggi seramai 578 orang diikuti Mersing (335), Kota Tinggi (185), Segamat (89) dan Johor Bahru (72).

Vidyananthan berkata setakat ini Jalan Haji Suhud di Johor Bahru serta Jalan Tanah Abang di Mersing ditutup sepenuhnya untuk semua kenderaan ketika ini.

Di Perak, jumlah mangsa banjir di tiga daerah terjejas berkurang kepada 196 orang pada pukul 3.00 petang ini berbanding 359 orang pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa teramai adalah di daerah Hilir Perak iaitu 171 orang, Hulu Perak (16) manakala di Perak Tengah seramai sembilan orang.

Menurut infobanjir.water.gov.my, setakat pukul 2 petang ini, Sungai Perak di Kuala Kenderong dan Tasik Temengor dalam daerah Hulu Perak serta di Kampung Gajah, Perak Tengah berada pada tahap amaran selepas masing-masing mencatatkan bacaan 112.39 meter (m), 247.02 m dan 6.60 m.

Di Sabah pula, semua 35 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 12 tengah hari tadi.