- Iklan -
Berita

Nadma nafi kesesakan dalam pusat rawatan Covid-19 di Serdang

Keadaan terkawal dan kapasiti katil untuk pesakit masih banyak.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar video yang tular dalam media sosial mendakwa kesesakan dalam pusat rawatan Covid-19 di Serdang.
Tangkap layar video yang tular dalam media sosial mendakwa kesesakan dalam pusat rawatan Covid-19 di Serdang.

Video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan individu beratur tanpa penjarakan fizikal di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) adalah melibatkan mereka yang disahkan negatif jangkitan wabak itu dan dibenarkan pulang, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Jurucakap agensi itu memberitahu, kejadian tular dalam klip video tersebut berlaku di dewan rawatan bagi pesakit warganegara di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

“Apabila dibenarkan discaj dalam 300 hingga 400 orang pada satu masa menjadikan ia nampak ramai tetapi keadaan terkawal dan tidak sesak,” kata Nur Daliza Dohat kepada MalaysiaNow.

Awal hari ini, klip video berdurasi 42 saat itu menunjukkan pusat rawatan yang dibuka semula awal bulan lalu disebabkan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 menimbulkan perdebatan hangat di media sosial dengan ramai mendakwa tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Video tersebut memperlihatkan beratus-ratus orang beratur dalam satu barisan sambil memegang beg dan barangan masing-masing.

Selain itu, turut kelihatan ratusan katil dua tingkat dengan beberapa individu sedang duduk di bahagian atas.

Bagaimanapun, Daliza menafikan dakwaan pengguna internet pusat rawatan itu sudah kehabisan tempat tidur, mengatakan ia masih mempunyai kapasiti untuk memuatkan kira-kira 10,000 pesakit pada satu masa.

“Setakat ini, hanya ada 3,000 pesakit sahaja. Kapasiti katil banyak lagi,” katanya.