- Iklan -
Berita

Sekatan perjalanan Maria Chin tidak sah, kata mahkamah

Sekatan perjalanan itu dikenakan terhadap ahli Parlimen Petaling Jaya, pada Mei 2016.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah. Gambar: AFP
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah. Gambar: AFP

Sekatan perjalanan ke luar negara yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, pada Mei 2016, adalah tidak sah, demikian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel tujuh hakim, berkata  tidak ada peruntukan undang-undang yang menetapkan dengan jelas bahawa ketua pengarah imigresen dan menteri dalam negeri mempunyai hak mengeluarkan larangan berkenaan terhadap Maria.

“Hak untuk melakukan perjalanan ke luar negara adalah hak asasi yang dijamin kepada semua orang di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan. Maka sudah jelas hak perayu (Maria) telah dinafikan,” katanya dalam penghakimannya.

Maria, 64, yang merupakan bekas pengerusi Bersih 2.0, memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Ketua pengarah imigresen untuk menghalangnya melakukan perjalanan ke Korea Selatan pada 15 Mei 2016, untuk menerima anugerah bagi Bersih 2.0.

Bagaimanapun, larangan perjalanan itu ditarik balik pada 17 Mei 2016 selepas dua hari larangan itu dikeluarkan.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakimannya pada 18 Mei 2017 manakala rayuannya ditolak di Mahkamah Rayuan pada 25 Mei 2018.

Mengenai kebergantungan pihak imigresen pada surat pekeliling dalaman untuk mengenakan larangan terhadap Maria, Tengku Maimun berkata larangan itu tidah sah jika responden (ketua pengarah imigresen dan menteri dalam negeri) hanya mempunyai surat pekeliling tersebut yang tiada memiliki kuasa.

“Saya meneliti surat pekeliling dan tidak menemukan apa-apa dokumen yang menunjukkan pihak responden mempunyai kuasa untuk menyenaraihitamkan pemegang pasport yang sah selain daripada situasi fakta khusus di mana mereka kehilangan pasport mereka,” katanya.

Anggota panel tersebut terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Abdul Rahman Sebli, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Harmindar Singh Dhaliwal, secara sebulat suara membenarkan Maria merayu persoalan undang-undang pertama.

Persoalan pertama menyentuh Seksyen 3(2) Akta Imigresen 1959, sama ada ketua pengarah imigresen mempunyai kuasa yang tidak terbatas untuk mengenakan larangan perjalanan atau adakah ketua pengarah imigresen boleh mengambil tindakan itu atas alasan yang mempengaruhi hak demokratik warganegara seperti mengkritik kerajaan.

Bagaimanapun, dengan keputusan majoriti 4-3, mahkamah tersebut bersependapat dengan pihak responden berhubung Seksyen 59 dan 59A Akta Imigresen 1959.

Seksyen 59 memberikan menteri dalam negeri dan ketua pengarah imigresen hak untuk tidak memberikan alasan ke atas tindakan mereka, kecuali berkaitan ketidakpatuhan prosedur.

Fasal dalam Seksyen 59A Akta Imigresen menghalang warganegara yang terjejas haknya untuk mendapat semakan kehakiman.

Hakim Abdul Rahman, dalam keputusan majoriti, berkata Seksyen 59A menyatakan dengan jelas tentang niat Parlimen dengan mengecualikan semakan kehakiman atas keputusan menteri dalam negeri, ketua pengarah imigresen dan pihak berkuasa negeri Sabah dan Sarawak.

Hakim  lain yang bersetuju dengan keputusan tersebut ialah Hakim Rohana, Hasnah dan Lim manakala Tengku Maimun, Nallini dan Harmindar berpendapat undang-undang tersebut tidak berperlembagaan dan perlu dibatalkan.

Maria diwakili peguam Gurdial Singh Nijar, Lim Wei Jiet, Abraham Au Tian Hui da Joshua Andran manakala pihak responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Liew Horng Bin dan Mohd Sabri Othman.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.