- Iklan -
Berita

Zahid langgar dasar parti tulis surat menyokong Anwar, kata Umno Putrajaya

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa, cuma mempertahankan keputusan yang dibuat oleh parti sebelum ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Umno Bahagian Putrajaya hari ini menyelar Ahmad Zahid Hamidi kerana melanggar dasar parti yang menentang sebarang kerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz berkata, bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa, cuma mempertahankan keputusan yang dibuat oleh parti sebelum ini.

“Sebagai timbalan ketua Umno bahagian, saya tidak mempersoalkan keputusan majlis tertinggi (MT), malah itulah yang dilaksanakan Annuar iaitu mempertahankan keputusan dasar parti yang mahu bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, mengukuhkan Muafakat Nasional (MN), menyokong Perikatan Nasional (PN) dan perdana menteri, juga ‘no Anwar, no DAP’.

“Yang dipersoalkan sekarang, dasar parti jelas no Anwar, tapi kenapa presiden dan Najib (Razak) tandatangan surat sokong dan setia kepada Anwar?” kata Faisal yang juga setiausaha akhbar kepada menteri Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan hari ini.

MalaysiaNow pada Oktober mendedahkan Zahid dan bekas perdana menteri, Najib Razak menulis surat kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi menyokong Anwar yang juga presiden PKR untuk menjadi perdana menteri.

Minggu ini, Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan mengesahkan berhubung surat tersebut dan menunjukkan salinannya kepada pemberita pada satu sidang media khas selepas dipecat sebagai setiausaha agung BN.

Faisal turut menyelar Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman dan ahli MT yang lain seolah-olah menjadi jurucakap DAP untuk membawa jajaran politik baru.

“Dasar parti juga jelas, no DAP kenapa pengarah pilihan raya, Tajuddin dan ahli MT seolah-olah menjadi jurucakap DAP dan membawa jajaran politik baru yang digambarkan akan melibatkan Anwar, PKR dan DAP?” soalnya.

Tajuddin baru-baru tidak menolak Umno akan bekerjasama dengan DAP dan PKR.

“Apa sahaja boleh berlaku dalam politik,” katanya kepada pemberita pada Isnin ketika ditanya apakah Umno bersedia membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), gabungan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.