- Iklan -
Berita

Vaksin Covid-19 bukan jaminan PRU15 didesak Umno boleh diadakan, kata pakar kesihatan

Pada peringkat awal, vaksin hanya diberi kepada petugas barisan hadapan sahaja dan bukannya orang awam.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba pada penghujung Februari. Gambar: AFP
Vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba pada penghujung Februari. Gambar: AFP

Vaksin Covid-19 yang bakal tiba pada penghujung Februari bukanlah jaminan desakan Umno agar kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun ini perlu didengari ketika penularan kes mencatatkan rekod tertinggi sejak kebelakangan ini, kata pakar kesihatan.

Tambahan pula, menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar, program vaksinasi akan mengambil masa yang lama dan berkemungkinan sehingga setahun untuk mencapai sasaran 80% rakyat Malaysia mendapatkannya.

“Pada peringkat awal, ia hanya diberi kepada ‘frontliners’ sahaja dan bukannya orang awam. Orang awam masih terdedah kepada jangkitan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Vaksin memerlukan masa yang panjang untuk melindungi semua orang dan menurunkan jangkitan dengan berkesan.”

Majlis Kerja Tertinggi Umno pada Rabu mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membubarkan Parlimen bagi memberikan laluan kepada PRU15 diadakan sebelum suku pertama tahun ini berakhir.

Desakan Umno itu menimbulkan kemarahan ramai pihak kerana pada ketika ini, negara sedang berdepan dengan kes Covid-19 tertinggi dengan buat pertama kalinya melepasi angka 3,000 semalam.

Lebih sedozen ahli Parlimen daripada tujuh parti pembangkang menentang desakan untuk mengadakan PRU15 sekarang, mengatakan keselamatan rakyat lebih penting daripada perebutan kuasa Umno.

Zainal berkata, sekiranya PRU15 boleh diadakan sekarang, semua pihak perlu bersedia berdepan dengan risiko peningkatan jangkitan Covid-19 seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Vaksin memerlukan masa yang panjang untuk melindungi semua orang dan menurunkan jangkitan dengan berkesan.”

“Sebaik-baiknya elakkan PRU15 diadakan dalam masa terdekat. PRN Sabah adalah contoh terbaik kesan kepada rakyat dan negara,” katanya.

Katanya, vaksin juga tidak dapat menghentikan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat pada tempoh waktu yang singkat.

“Jadi apa pun pencegahan yang utama ialah prosedur operasi standard (SOP) yang ada seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, elakkan perhimpunan awam dan semua ini akan terjejas jika berlaku PRU dalam masa terdekat,” katanya.

Zainal berkata tidak wajar ahli politik menggunakan contoh beberapa negara luar yang tetap mengadakan pilihan raya meskipun kes Covid-19 sedang meningkat sebagai justifikasi memaksa kerajaan membubarkan Parlimen.

“Amerika dengan kes dan kematian yang tinggi boleh jadi contoh terbaik. Kita tak perlu merisikokan negara dan rakyat.

“Eloklah orang politik berfikir secara rasional. Kestabilan politik tak akan di capai walaupun dengan PRU15 dalam masa terdekat,” katanya.

Minggu lalu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyelar kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin kerana takut mengadakan PRU15 dalam jangka masa terdekat.

Pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk, Zahid berkata lebih 30 negara sudah mengadakan pilihan raya sepanjang pandemik Covid-19.

Zainal menasihatkan semua wakil rakyat berfikir secara waras apakah keutamaan dalam kehidupan.

“Fikir masak-masak. Di mana keutamaan kita? Pergi tanya pengundi mereka. Apa yang rakyat mahu.

“Usahakan kestabilan politik dengan perpaduan dan tolak ansur. Jangan perjudikan kesihatan dan nyawa rakyat dan negara,” katanya.