- Iklan -
Berita

Bahagian tubuh manusia ditemui luar pesisir Jakarta

Setakat ini dua beg mayat sudah diterima dengan satu mengandungi barangan milik penumpang dan satu lagi berisi bahagian tubuh.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pihak berkuasa membuat pemeriksaan terhadap penemuan di luar pesisir Jakarta, hari ini. Gambar: AFP
Pihak berkuasa membuat pemeriksaan terhadap penemuan di luar pesisir Jakarta, hari ini. Gambar: AFP

Bahagian tubuh manusia dan serpihan bangkai pesawat ditemui di luar pesisir Jakarta, hari ini, susulan tragedi nahas jet Sriwijaya Air jenis Boeing 737-500.

Pesawat membawa 62 orang itu dilaporkan terhempas ke laut selepas kira-kira empat minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, di Jakarta, semalam.

Hingga kini, punca kejadian masih belum diketahui, dengan pihak berkuasa memfokus usaha mencari dan menyelamat yang dilihat sebagai harapan amat tipis untuk menemui mangsa terselamat.

“Setakat pagi ini, kami menerima dua beg (mayat), satu mengandungi barangan milik penumpang dan satu lagi berisi bahagian tubuh,” kata jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus, kepada Metro TV.

Penemuan itu adalah hasil operasi membabitkan kapal perang, helikopter dan penyelam yang dikerah ke lokasi terbabit, hari ini.

Pihak berkuasa memaklumkan, pesawat itu membawa 62 penumpang dan kru, termasuk 10 kanak-kanak, yang kesemuanya adalah warga Indonesia.

Pesawat terbabit menuju ke bandar Pontianak yang membabitkan perjalanan selama kira-kira 90 minit melintasi Laut Jawa.

Ahli keluarga mangsa berkumpul di Lapangan Terbang Pontianak, malam tadi, untuk menunggu perkembangan insiden berkenaan.

“Empat ahli keluarga saya berada dalam pesawat itu – isteri dan tiga anak,” kata Yaman Zai sambil menangis teresak-esak.

Pihak berkuasa berkata, mereka akan meneruskan operasi pencarian di laut dan juga dari udara, selain menggunakan radar sonar untuk mengesan bangkai pesawat berkenaan.

Ratusan anggota meliputi tentera laut dan polis bersama 10 kapal perang turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat itu.