- Iklan -
Berita

Banjir di Terengganu pulih, semua mangsa dibenarkan pulang

Kesemua 17 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup secara berperingkat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Mangsa banjir, Zaharudin Mohammad, 47, melihat barangan dalam rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Batu 10, Pasir Gajah, Kemaman kelmarin. Gambar: Bernama
Mangsa banjir, Zaharudin Mohammad, 47, melihat barangan dalam rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Batu 10, Pasir Gajah, Kemaman kelmarin. Gambar: Bernama

Situasi banjir di dua daerah di Terengganu pulih sepenuhnya apabila kesemua 17 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup secara berperingkat dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata empat PPS terakhir di Kemaman dan Dungun ditutup secara rasmi pada 2 petang tadi.

“Bagaimanapun, penduduk di Terengganu perlu terus berwaspada kerana monsun timur laut hanya akan berakhir pada Mac.

“Jabatan Meteorologi juga mengeluarkan amaran angin kencang, laut bergelora dan air pasang besar hingga 14 Januari ini. Oleh itu, penduduk perlu sentiasa peka dengan sebarang perubahan cuaca di sekitar tempat tinggal mereka,” katanya.

Banjir gelombang pertama di Terengganu telah bermula pada 17 hingga 19 November manakala gelombang kedua bermula pada 23 November hingga 2 Disember lepas.

Gelombang ketiga banjir pula pada lewat malam 2 hingga 9 Disember disusuli gelombang keempat berlaku pada 17 Disember dan berakhir pada 23 Disember.

Terkini, iaitu gelombang kelima banjir telah bermula pada 3 Januari lepas dan berakhir hari ini, yang menyebabkan lebih 13,000 penduduk di empat daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun dan Besut terjejas akibat bencana itu.