Daripada hidangan sotong goreng tepung, semangkuk kari kepala ikan ke nasi daun pisang dengan ikan pari bakar dan keropok lekor dihidangkan dengan sos cili, masakan berasaskan makanan laut sememangnya tidak asing lagi dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Namun, di sebalik keenakan masakan itu, pakar alam sekitar memberi amaran penangkapan ikan dan hidupan laut secara berlebihan mampu menyebabkan kepupusan haiwan akuatik di negara ini, malah populasinya di peringkat global kini turut berkurangan.
Satu laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun lepas menunjukkan hampir 95% stok ikan dunia sama ada ditangkap secara berlebihan atau ditangkap secara maksimum.
Malaysia sendiri berada di kedudukan ke-20 hasil tangkapan ikan terbesar di dunia, keenam di rantau Asean.
Nelayan negara ini menangkap hampir satu juta tan hasil laut setiap tahun, kira-kira 40,000 tan disimpan sebagai rizab beku.
Jika keadaan penangkapan secara berlebihan ini berterusan, pakar meramalkan menjelang tahun 2048, semua spesies ikan yang ditangkap sekarang ini untuk dijadikan lauk akan pupus.
Chitra Devi dari Program Marin Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia memberitahu MalaysiaNow menerapkan langkah-langkah yang mampan menjadi kunci utama dalam memastikan bekalan makanan laut negara dapat diselamatkan.
“Kelestarian makanan laut bermaksud hasil dituai mengikut keupayaan stok ikan untuk pulih, dengan menggunakan kaedah itu ia akan meminimumkan impak kepada hidupan dan habitat marin,” katanya.
Malaysia sendiri berada di kedudukan ke 20 hasil tangkapan ikan terbesar di dunia, keenam di rantau Asean.
Ia juga bermaksud makanan laut dihasilkan melalui satu proses pengurusan bertanggungjawab, menekankan kebajikan sosial para nelayan dan penduduk pesisir.
Sumber makanan laut itu juga mesti boleh dikesan, kata Chitra.
Kajian Jabatan Perikanan Malaysia mengenai pengunaan pukat tunda pada tahun 2016 menunjukkan stok ikan demersal – ikan yang hidup dan mencari makan dekat atau di dasar laut – menurun sebanyak 88% di seluruh negara sejak tahun 1960-an.
Pada 2019, Jabatan Perikanan Malaysia turut mendedahkan negara kehilangan 96% stok ikan demersal berbanding 60 tahun dulu disebabkan penangkapan ikan secara berlebihan.
Penangkapan ikan secara berlebihan berlaku apabila ikan ditangkap sehingga tidak sempat membiak atau mengekalkan jumlah.
Ia mempunyai kesan yang serius terhadap alam sekitar dan juga kelangsungan hidup mereka yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti menangkap ikan.
“Populasi ikan dan habitat hidupan laut terancam melebihi kemampuan mereka untuk membiak kesan akibat penangkapan ikan secara berlebihan. Kelangsungan hidup komuniti yang bergantung kepada ikan turut terkesan,” kata Chitra.
Kehadiran jumlah kapal-kapal menangkap ikan terlalu banyak di laut; menggunakan peralatan yang canggih untuk memperoleh hasil lebih banyak; permintaan tinggi makanan laut di seluruh dunia; penangkapan ikan haram; dan subsidi atau bantuan buat mereka dalam industri perikanan untuk mengimbangi kos perniagaan semuanya merupakan faktor utama mendorong kepada penangkapan ikan secara berlebihan.
Walaupun peralihan kepada kemampanan makanan laut dilihat kurang sesuai, Chitra memberi jaminan ia akan menyumbang kepada perubahan yang positif.
Beliau membayangkan akan berlaku “kesan domino” kepada seluruh rantaian bekalan makanan laut, dengan insentif untuk para nelayan, petani akuakultur, peruncit, hotel dan restoran untuk menghasilkan dan menjual makanan laut secara mampan.
“Ini akan menyumbang dalam memperkasakan keselamatan makanan, kelangsungan hidup dan ekonomi dan pada masa sama memelihara stok ikan dan persekitaran semula jadi,” katanya.
Kurangkan makanan laut
Beliau menggesa semua orang untuk memainkan peranan masing-masing dengan membeli dan makan makanan laut secara bertanggungjawab.
“Jangan beli ikan-ikan belum dewasa dan anak ikan. Jika ikan kelihatan agak kecil, ia mungkin masih belum dewasa.
“Kita perlu elak makan anak-anak ikan kerana kita perlu berikannya masa untuk matang dan boleh membiak untuk menambahkan bilangan. Jika kita makan ikan ketika masih kecil, mereka tidak berpeluang untuk membiak.”
Beliau juga mencadangan untuk memperoleh makanan laut daripada sumber yang mampan dan mengurangkan pengambilan dengan makan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan berasaskan kekacangan sebagai sumber diet harian.
“Dengan mengambil makanan laut dalam jumlah yang sedikit, kita akan mengurangkan permintaan dan secara tidak langsung mengurangkan tekanan penangkapan ikan secara berlebihan.”