- Iklan -
Berita

Kempen utus warkah ke Istana bukti Anwar tak faham fungsi Perlembagaan Agong

Pengamal undang-undang, mengatakan ia menunjukkan presiden PKR itu tidak memahami Perlembagaan Persekutuan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Kempen dilancarkan Anwar Ibrahim agar anggota Parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon pengisytiharan darurat dibatalkan mengejutkan dalam kalangan pengamal undang-undang, mengatakan ia menunjukkan presiden PKR itu tidak memahami Perlembagaan Persekutuan.

Beberapa orang peguam kanan yang dihubungi MalaysiaNow terkejut dengan langkah itu, mengatakan ketua pembangkang itu mungkin “menerima nasihat salah daripada pasukan peguamnya”.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai tiga parti berkata hari ini, beliau bersedia untuk menyediakan deraf surat bagi ahli Parlimen apabila mereka menulis ke Istana.

Beliau memberitahu ahli-ahli Parlimen, langkah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat Covid-19 adalah tidak sah dan menambah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mencukupi untuk memerangi pandemik yang menjejaskan ribuan orang setiap hari dan sudah meragut lebih 578 nyawa.

Anwar berkata, Agong harus menarik balik pengisytiharan darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen diadakan hujung bulan ini dan menambah ahli-ahli Parlimen harus menghantar warkah mereka hari ini.

“Pendek kata, Agong tidak mempunyai kuasa Perlembagaan untuk membatalkan darurat seperti didesak Anwar,” katanya.

Seorang peguam kanan terkejut langkah “tidak bersesuaian dengan Perlembagaan” itu “datang daripada seorang ketua pembangkang.”

Katanya, pengisytiharan atau pembatalan darurat dilakukan Agong berdasarkan nasihat Kabinet seperti yang termaktub dalam Artikel 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kuasa Agong untuk bertindak mengikut budi bicara dijelaskan dalam Artikel 40 (2).

“Tetapi mengisytiharkan atau membatalkan darurat tidak termasuk dalam perkara 40 (2),” kata seorang peguam Perlembagaan kepada MalaysiaNow, dengan syarat tidak dinamakan kerana tidak mahu diheret dalam “politiking” di media sosial.

“Pendek kata, Agong tidak mempunyai kuasa Perlembagaan untuk membatalkan darurat seperti didesak Anwar,” katanya.

PKP dan darurat diumumkan minggu ini selepas peningkatan berterusan jangkitan wabak Covid-19 ketika pihak berkuasa kesihatan memberi amaran sistem kesihatan negara hampir lumpuh.

Muhyiddin memberikan jaminan darurat tidak akan menyebabkan pemerintahan tentera tetapi hanya menggantung Parlimen untuk menghalang ancaman pilihan raya mengejut yang dikatakan pakar bakal menggagalkan usaha mengekang pandemik.

Seorang lagi peguam Perlembagaan memberitahu MalaysiaNow kempen Anwar untuk membatalkan darurat adalah seperti memaksa Agong bertindak di luar kuasa dan tanggungjawab dalam sistem Raja Berperlembagaan.

“Menyiarkan surat itu sebagai kenyataan media juga meletakkan Istana dalam keadaan serba dalah; terutamanya selepas isu itu menjadi tajuk pertengkaran politik.

“Agong melangkaui politik dan tidak seharusnya diheret ke kancah politik,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi