- Iklan -
Berita

Permohonan cap dagang ‘Harimau Menangis’ ibu Neelofa belum diluluskan

Ibu Neelofa diminta untuk tidak mendahului keputusan MyIPO.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu Neelofa diminta tidak mendahului keputusan MyIPO. Gambar: Facebook
Ibu Neelofa diminta tidak mendahului keputusan MyIPO. Gambar: Facebook

Permohonan cap dagang bagi jenama “Harimau Menangis” oleh Syarikat Noor Khan Enterprise masih di peringkat pemeriksaan, kata Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Mohd Roslan Mahayudin.

Justeru, beliau berkata jenama yang dimohon pemilik syarikat itu, Noor Kartini Noor Mohamed belum diluluskan MyIPO dan menjadi hak eksklusif beliau.

Roslan memaklumkan pemohonan Kartini bagi mendaftarkan jenama itu diterima MyIPO pada November tahun lepas dan kelulusannya bergantung kepada hasil pemeriksaan serta pertimbangan agensi tersebut.

“Sehubungan itu, Kartini diminta untuk tidak mendahului keputusan MyIPO dengan mendakwa bahawa jenama ‘Harimau Menangis’ didaftarkan sebagai cap dagangan dan menjadi hak eksklusif beliau.

“MyIPO akan memproses permohonan beliau seperti biasa iaitu sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” menurutnya dalam kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi.

Sejak semalam, tular di media sosial usahawan itu mendakwa jenama “Harimau Menangis” bagi produk keluarannya didaftarkan dan beliau mempunyai hak eksklusif ke atas cap dagangan nama tersebut.

Dakwaan usahawan itu, yang merupakan ibu kepada selebriti Neelofa, mendapat perhatian warga internet yang rata-rata menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan memandangkan sudah ramai menggunakan nama resepi masakan berasaskan daging “Harimau Menangis” dalam produk mereka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.