Selepas Ketua Pemuda Umno Pontian, Mohd Helmi Buang dengan lantang meminta presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi “berehat”, tiba giliran ketua Pemuda Seremban, menyuarakan perkara sama.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Seremban Zool Amali Hussin berkata Umno bukan milik mana-mana individu termasuk presiden parti.
“Bila ramai yang melahirkan rasa dan berani bersuara kira baguslah, Alhamdulillah lah. Kita nak bagi semua orang ni sedar, berani bersuara, Umno ni bukan untuk mana-mana individu. Umno ni untuk orang Melayu,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Ini adalah suara ketidakpuasan hati, suara yang di mana semua ini sayangkan Umno,” katanya.
Zool berkata, beliau tidak terkejut jika selepas ini lebih ramai akan tampil ke hadapan melakukan gesaan yang sama demi menyelamatkan Umno.
“Saya yakin ada lagi yang berani tampil selepas terbuka minda, terbuka hati hendak bersuara mungkin selepas ini daripada exco-exco Pemuda Malaysia pula yang akan bersuara.”
Zool turut menyelar laungan yang dibuat pucuk pimpinan dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini iaitu meremajakan parti tetapi ia tidak seperti apa yang dikatakan.
Katanya, jalan terbaik untuk selamatkan Umno adalah dengan melakukan perubahan di peringkat atas.
“Remaja apa, remaja purba, masing-masing dah gila kuasa, masing-masing pentingkan diri sendiri remaja apa bendanya. Dia orang sedar tak apa yang jadi.
“Itu salah satu tanda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang pengundi berumur 18 tahun sudah pasti tidak akan undi Umno. Dia orang akan undi parti-parti kecil seperti Muda,” katanya.
Sebelum ini Helmi yang mengetuai Pemuda Umno Pontian juga dipetik berkata parti Melayu itu tidak mempunyai hala tuju masa depan yang jelas di bawah pimpinan Zahid.
Tahun lalu MalaysiaNow mendedahkan Zahid bersama-sama dengan bekas presiden Umno, Najib Razak menulis surat ke Istana Negara bagi menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri sekaligus menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.