- Iklan -
Berita

Pemuda Umno Pontian gesa Zahid Hamidi berundur

Parti Melayu itu didakwa tidak mempunyai hala tuju masa depan yang jelas di bawah pimpinan Zahid Hamidi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Seorang pemimpin Pemuda Umno di Johor mencadangkan agar Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai presiden parti itu “dengan rasa hormat”, ketika parti Melayu itu tidak mempunyai hala tuju masa depan yang jelas di bawah pimpinannya.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Pontian Mohd Helmi Buang berkata, ini termasuk pemimpin lain yang sudah berpenggal-penggal memegang jawatan tertinggi bagi memberikan ruang kepada generasi baru.

“Tindakan ini amat pen­ting agar generasi baru terus sa­yang dan menghormati parti keramat ini.

“Berundur tidak bermakna mengalah. Beliau boleh membantu parti dari luar bagi memastikan sema­ngat juang generasi baru tidak pudar,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Tahun lalu MalaysiaNow mendedahkan Zahid bersama-sama dengan bekas presiden Umno, Najib Razak menulis surat ke Istana Negara bagi menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri sekaligus menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Awal Januari lalu Zahid memecat Annuar Musa sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN) dan menggantikannya dengan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Annuar pada sidang media selepas pemecatannya mengesahkan surat didedahkan MalaysiaNow pada Oktober tahun lepas, mengatakan beliau hilang hormat terhadap Zahid sebagai presiden Umno selepas mengetahui mengenai perkara itu.

Zahid dan Najib pada ketika ini secara keseluruhannya berdepan dengan 79 pertuduhan rasuah.

Kedua-dua Zahid dan Najib bersama-sama dengan beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lain yang berdepan dengan pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berusaha keras untuk menggulingkan kerajaan PN.

Terbaru, dua ahli Parlimen BN yang rapat dengan kumpulan ini, Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz menarik kembali sokongan yang diberikan kepada PN.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.