- Iklan -
Berita

Polis rampas dadah bernilai RM201 juta di Johor

Ia merupakan rampasan dadah terbesar menerusi serbuan di tiga stor penyimpanan di sekitar bandar di Johor.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay (dua, kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya melihat pelbagai jenis dadah selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. Gambar: Bernama
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay (dua, kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya melihat pelbagai jenis dadah selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. Gambar: Bernama

Polis Johor berjaya melakukan rampasan dadah terbesar bernilai RM201 juta menerusi serbuan di tiga stor penyimpanan di sekitar bandar raya ini, pada 14 dan 15 Januari lepas.

Ketua Polisnya Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rampasan itu yang terbesar dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia, adalah hasil siasatan terhadap 15 suspek yang ditahan dalam sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah pada 12 Januari lepas.

Katanya penahanan yang dilakukan menerusi serbuan ke atas dua makmal yang memproses dadah dan dua stor penyimpanan itu, berhasil menemukan dadah bernilai RM125.8 juta.

“Hasil siasatan terhadap suspek kemudian membolehkan polis menyerbu tiga lagi lokasi yang dijadikan stor penyimpanan dadah iaitu di sebuah kilang di Taman Mount Austin dan dua buah rumah sewa d Taman Setia Indah di sini.

“Dalam serbuan ini, polis menemukan 3.2 tan serbuk ecstasy, 26.1 kilogram (kg) cecair ecstasy dan 117 kg serbuk Erimin 5 yang dianggarkan boleh digunakan kira-kira 11 juta penagih dadah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalannya Khaw Kok Chin, di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, polis turut menyita empat buah kenderaan mewah, wang tunai berjumlah RM5 juta; mata wang asing berjumlah RM231,961; 30 jenis barang kemas bernilai RM124,435; tiga utas jam tangan Rolex bernilai RM250,000 serta 62 akaun bank bernilai RM1.23 juta dalam serbuan sama.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dan sitaan adalah bernilai RM210.52 juta,” katanya sambil menambah dua lelaki tempatan berusia 34 dan 38 tahun turut telah ditahan masing-masing pada 5.20 petang, 14 Januari di Taman Mount Austin dan 2.30 petang di Taman Gaya, Ulu Tiram semalam kerana dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.

Ayob Khan memberitahu, salah seorang suspek itu adalah mekanik yang bertanggungjawab untuk mengubah suai kompartmen kenderaan, bagi menyimpan dadah.

“Sindiket ini beroperasi sejak tahun 2018, dengan menyewa premis kilang dan rumah untuk dijadikan stor penyimpanan dan pemprosesan dadah.

“Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula daripada hari tangkapan untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ayob Khan menjelaskan kes terbaharu ini menjadikan nilai keseluruhan dadah yang dirampas sejak 12 Januari lepas berjumlah RM341.79 juta dan oleh itu, pihaknya menjamin akan terus melakukan siasatan susulan bagi mengesan saki baki suspek yang terlibat.