- Iklan -
Berita

Terma baru WhatsApp: Tiada perubahan jika hanya bergosip

Undang-undang data negara ini tidak terpakai kepada syarikat yang berpangkalan di luar negara.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi

Kemas kini terbaru daripada WhatsApp yang menghendaki pengguna bersetuju dengan terma baru untuk terus menggunakan aplikasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat negara ini.

Pihak berkuasa dan pakar data peribadi mengatakan, Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) yang diwartakan pada 2010 tidak terpakai kepada syarikat yang berpangkalan di luar negara.

Kemas kini terbaru itu menimbulkan keresahan dan kekeliruan selepas Facebook syarikat induk WhatsApp, mengumumkan pengguna perlu menerima terma baru perkhidmatan itu atau tidak dapat menggunakan aplikasi itu bermula 8 Februari.

WhatsApp dalam satu kenyataan menjelaskan kemas kini itu tidak menjejaskan privasi mesej yang dihantar kepada rakan-rakan atau ahli keluarga.

Sebaliknya, kemas kini itu hanya berkait cara bagaimana WhatsApp mengumpul dan menggunakan data ketika pengguna menghantar pesanan kepada syarikat untuk melakukan transaksi perniagaan, seperti melakukan pembelian menerusi aplikasi itu.

Terbaru, WhatsApp menangguhkan perubahan perkongsian data susulan kebimbangan penggunanya mengenai kerahsiaan maklumat mereka sehingga beralih kepada perkhidmatan Telegram dan Signal.

Menurut WhatsApp, pihaknya akan “berhubung dengan pengguna secara berperingkat untuk mengkaji semula dasar itu sebelum pilihan baru disediakan pada 15 Mei depan”.

Pakar mengatakan pengguna boleh tetap yakin terma baru  itu tidak akan mengganggu mesej peribadi yang dihantar kepada rakan-rakan, ahli keluarga dan rakan sekerja.

Bagaimanapun, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menasihati rakyat negara ini untuk berfikir semasak-masaknya sebelum berkongsi maklumat peribadi melalui WhatsApp terutama ketika berurusan dengan akaun perniagaan.

“Pengguna WhatsApp amat-amat disaran supaya sentiasa berhati-hati dalam berkongsi maklumat peribadi menerusi aplikasi itu,” kata seorang jurucakap JPDP kepada MalaysiaNow, dan menambah entiti komersial dalam negara ini terikat dengan peraturan PDPA.

Mengenai perubahan dalam polisi privasi aplikasi itu, JPDP mengatakan platform media sosial itu akan tetap beroperasi seperti biasa di negara ini: “Jabatan ini tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menyekat penggunaan WhatsApp di Malaysia walaupun akan berlaku perubahan dalam terma perkhidmatan dan polisi privasi.”

“Walaupun tidak perlu mematuhi peraturan PDPA, WhatsApp masih perlu mematuhi undang-undang utama perlindungan data di seluruh dunia yang kebanyakannya sama,” katanya.

JPDP menjelaskan undang-undang privasi di negara ini tidak mempunyai bidang kuasa terhadap syarikat yang berpangkalan di luar Malaysia seperti WhatsApp yang berpusat di Amerika Syarikat.

Deepak Pillai, seorang peguam berpengalaman lebih dari 20 tahun dalam bidang teknologi, media dan telekomunikasi, menjelaskan WhatsApp adalah satu perkhidmatan secara percuma disediakan kepada orang ramai dan pengguna tertakluk kepada terma perkhidmatannya.

“Terpulang kepada diri masing-masing sama ada mahu menerima atau menolak terma tersebut. Jika mereka menolak, pilihan yang tinggal ialah tidak menggunakan perkhidmatan itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya jika WhatsApp tidak mempunyai syarikat di negara ini untuk memproses data peribadi, maka ia tidak tertakluk kepada peraturan PDPA.

“Walaupun tidak perlu mematuhi peraturan PDPA, WhatsApp masih perlu mematuhi undang-undang utama perlindungan data di seluruh dunia yang kebanyakannya sama,” katanya.

Buat masa ini katanya, pengguna tidak perlu bimbang mengenai kemas kini polisi baru kerana semua mesej, panggilan suara dan video akan kekal enkripsi dan tidak akan dikongsi dengan orang lain.

Bagaimanapun dia menambah, apabila menggunakan fungsi baru yang membolehkan pengguna menghantar mesej perniagaan dan membuat pembayaran melalui WhatsApp, pengguna perlu sedar aplikasi itu boleh berkongsi data berkaitan transaksi yang dilakukan dengan Facebook dan pedagang pihak ketika bagi “membantu kami beroperasi, menyediakan, memperbaiki, memahami, menyesuaikan, sokongan, dan memasarkan perkhidmatan kami”

Rumusannya nampak seperti sedikit sahaja yang akan berubah buat pengguna yang menghantar mesej WhatsApp kepada rakan mereka untuk berkongsi gosip terbaru.

Ia hanya apabila melakukan pembelian melalui aplikasi itu, pengguna perlu ingat kepada nasihat Latin ini: caveat emptor atau berhati-hatilah wahai si pembeli.

Disebabkan lebih ramai dalam kalangan kita kini menjual secara dalam talian ketika pandemik ini: caveat venditor, penjual juga harus berhati-hati.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.