- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen pembangkang gesa kerajaan benarkan kedai makan beroperasi selepas 8 malam

Mereka turut menuntut kerajaan melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Masa operasi kedai makan ketika ini didakwa menyusahkan golongan yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.
Masa operasi kedai makan ketika ini didakwa menyusahkan golongan yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang merentas parti menggesa kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kedai makan dan minuman, membenarkan mereka beroperasi selepas 8 malam kerana apa yang berlaku sekarang menyusahkan golongan yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh 21 ahli Parlimen daripada DAP, PKR, Amanah, Warisan, Pejuang, Muda dan bebas, mereka menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera memperbaiki SOP ini kerana ia juga memberikan kesan kepada para peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian mereka.

“Membenarkan para peniaga beroperasi mengikut lesen perniagaan mereka akan membantu memulihkan ekonomi para peniaga, menjana pendapatan penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk di rumah kerana mereka boleh membuat pesanan dari rumah dan tidak terhad sehingga 8 malam sahaja,” kata kenyataan itu.

“Kami menggesa Kerajaan Perikatan Nasional membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi seperti yang tercatat dalam lesen perniagaan mereka dan tidak terhad sehingga 8 malam memandangkan makan di kedai tidak dibenarkan dan penjualan makanan adalah secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran ke rumah.”

Minggu lepas kerajaan memperkenalkan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas jangkitan Covid-19 secara konsisten mencecah empat angka sejak Disember lepas.

Dalam SOP yang diumumkan, kedai makan hanya dibenarkan secara bawa pulang dan perlu ditutup pada pukul 8 malam.

Dalam kenyataan itu, 21 ahli Parlimen pembangkang itu turut menuntut agar kerajaan melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.

“Berbanding semasa PKP fasa pertama, para peniaga mungkin lebih teruk terjejas kali ini kerana mereka terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium seperti sebelum ini”.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.