Antara April dan Mei 2020, harga petrol di negara ini berada pada harga terendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bahan api RON95, pilihan utama pengguna hanya berharga RM1.25 seliter, RON97 yang lebih premium pula RM1.55, dan diesel RM1.40.
Hari ini harga runcit bahan bakar itu naik mendadak, ia dilihat tidak setimpal dengan upah dan inflasi.
Sehingga Jumaat lepas, RON95 berharga RM1.89, RON97 pula RM2.19 dan diesel RM2.05 seliter.
Malaysia memiliki 400 telaga minyak dan gas dan merupakan pengeluar minyak kedua terbesar di Asia Tenggara.
Ia juga memiliki rizab minyak keempat terbesar di Asia, dengan hasil minyak dan gas menyumbang kira-kira 20% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Terdapat empat pihak yang bertanggungjawab dalam mengawal selia sektor minyak dan gas negara; Petronas, Kementerian Pedagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC).
Syarikat minyak nasional Petronas bertanggungjawab dalam semua aktiviti huluan, manakala dua lagi kementerian – Miti dan KPDNHEP – mengawal selia aktiviti pertengahan dan hiliran.
Sejak 2011, MPRC, yang beroperasi di bawah Jabatan Perdana Menteri, ditugaskan untuk mengesyorkan dasar dan mengkaji peraturan perniagaan dan insentif cukai sedia ada.
Jadi mengapa harga petrol turun dan naik?
Dalam jangka panjang, satu-satunya faktor yang mempengaruhi harga petroleum adalah kos minyak mentah kerana ia menyumbang hampir 50% kepada harga runcit petrol.
Bagaimanapun kuasa penawaran dan permintaan serta persaingan dalam pasaran turut mempengaruhi harga bahan api itu dalam jangka pendek.
Namun kebimbangannya di sini: kebanyakan minyak dunia terletak di negara yang keadaan politiknya paling tidak stabil di dunia. Gangguan bekalan, betul atau anggapan, ia tetap mempunyai kesan terhadap harga minyak mentah.
Apabila harga minyak mentah naik, secara purata harga petroleum turut akan meningkat.
Bagi memastikan harga bahan api yang rendah, Putrajaya akan memantau perubahan harga minyak mentah dunia.
Bagaimanapun kuasa penawaran dan permintaan serta persaingan dalam pasaran turut mempengaruhi harga bahan api itu dalam jangka pendek.
Harga runcit petrol tidak ada kaitan langsung dengan harga minyak mentah.
Harga runcit mengikut kepada harga pelbagai produk bertapis.
Salah satu harga asas yang digunakan oleh negara-negara di Asia Tenggara adalah Means of Platt Singapore (MOPS), indeks harga purata yang diterbitkan oleh agensi penilaian harga McGraw-Hill Platts, di Singapura.
Ia berdasarkan purata harian semua transaksi perdagangan antara pembeli dan penjual produk berasaskan petroleum.
Di Malaysia, harga runcit petrol, diesel, dan gas petroleum cecair (LPG) ditetapkan dengan mengggunakan Mekanisme Harga Automatik (APM) yang dilaksanakan sejak tahun 1983.
Perubahan harga pada peringkat runcit menggunakan mekanisme APM, dibuat setiap minggu mengikut pertimbangan kerajaan, yang bertujuan untuk menstabilkan harga produk petroleum.
Oleh itu, mengapa harga petrol kita terus naik?
Di sebalik penurunan harga minyak mentah dunia yang ketara dalam tempoh 12 bulan lalu, ia tidak melibatkan produk yang bertapis.
Kos yang digunakan dalam pengiraan harga runcit petrol berdasarkan APM adalah kos melibatkan produk bertapis, bukan harga minyak mentah.
Penurunan harga runcit yang perlahan turut dipengaruhi turun naik ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Disebabkan minyak mentah Malaysia berkualiti tinggi dan sebahagian besar daripadanya dieksport, syarikat-syarikat minyak dalam negara mengimport sebahagian kecil minyak mentah untuk loji penapis minyak mereka, dan syarikat yang tidak memiliki loji tersebut akan mengimport produk bertapis mereka.
Oleh itu, faktor kadar tukaran memainkan peranan penting dalam menentukan harga jualan runcit akhir produk petroleum.
Hasil minyak negara menurun sejak 2014.
Perubahan harga runcit petrol turut bergantung kepada subsidi daripada kerajaan.
Apabila harga minyak rendah, hasil kerajaan akan menurun dan mereka perlu mengimbangi dengan melakukan pengurangan atau menghapuskan subsidi minyak.
Pasaran minyak global kembali berubah-ubah.
Harga minyak mencapai paras tertinggi selama 10 bulan selepas pengurangan pengeluaran oleh Anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum atau OPEC +, tetapi keadaan dijangka berubah kerana majoriti dalam pasaran melibatkan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sedang bergelut dengan varian baru Covid-19 termasuk juga perintah berkurung yang akan dikuatkuasakan di seluruh dunia.
Varian baru itu, pertama kali dikesan di United Kingdom, dan kini turut dilaporkan di China, Jepun dan beberapa pasaran utama Asia yang lain.
Keyakinan mengenai harga minyak jangka pendek menjadi lemah akan berlaku kerana permintaan terhadap bahan bakar pasti akan dipengaruhi oleh pelaksanaan perintah berkurung.
Lebihan minyak baru mungkin berlaku tahun tahun 2021.
Mana-mana pihak yang memgikut perkembangan pasaran minyak pasti tahu harga semasa didorong oleh andaian dan bukan realiti.
Peramal utama, termasuk Agensi Tenaga Antarabangsa dan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS, menurunkan anggaran pertumbuhan permintaan minyak mereka untuk tahun 2021 dalam beberapa minggu sebelum ini.
Pada 20 April tahun lalu, harga minyak melakar sejarah apabila kontrak penanda aras AS yang dikenali sebagai West Texas Intermediate (WTI) diniagakan pada harga negatif AS$37 setong buat pertama kali.
Minyak begitu banyak tersedia, dengan permintaan amat rendah dan hampir tiada ruang untuk penyimpanan, dan pengeluar terpaksa membayar kepada pembeli untuk mengambilnya daripada mereka.
Harga minyak jatuh disebabkan permintaan yang tidak tak anjal.
Dalam erti kata mudah, orang akan beli minyak tanpa mempedulikan harganya.
Dengan orang ramai kekal berada dalam rumah, tidak kira betapa murah harga minyak, mereka tidak banyak bergerak.
Tahun ini, ada berita baik buat pasaran minyak apabila Arab Saudi mengatakan ia akan mengurangkan pengeluaran sekitar satu juta tong sehari, kira-kira 1% daripada permintaan dunia.
Pengumuan itu membantu melonjakkan harga minyak mentah Brent sebanyak 7% dalam tempoh dua minggu melebihi AS$55 setong.
Tetapi perkembangan terkini dua kuasa besar ekonomi dunia, China dan AS mungkin membantutkan kegembiraan itu.
Tidak dapat dipastikan sama ada permintaan minyak akan meningkat dalam masa terdekat, dengan pandemik Covid-19 mungkin kekal dalam tempoh lebih lama dan perintah berkurung kembali dilaksanakan di seluruh dunia.
Oleh kerana turun naik terus berlaku disebabkan kejutan harga di zaman moden, pihak industri terpaksa menerima harga “rendah lebih lama”, dan rakyat negara ini perlu menerima kenaikan harga bahan bakar itu.
Sementara itu, pembangunan teknologi kenderaan elektrik dan bateri menyebabkan pembuat kereta global menyatakan komitmen dengan melabur lebih daripada AS$300 bilion.
Ia merupakan satu perkembangan yang perlu diperhatikan.