- Iklan -
Berita

Agong gesa ketepikan perbezaan politik, ingatkan tentang pengorbanan barisan hadapan

Agong menyeru seluruh rakyat untuk memberikan sokongan padu kepada petugas barisan hadapan dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Photo: AFP
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Photo: AFP

Seminggu selepas dururat diisytiharkan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menggesa rakyat Malaysia bersatu pada dalam memerangi wabak Covid-19 yang setakat ini sudah meragut lebih 600 nyawa dan menjangkiti lebih 160,000 orang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara petang ini Agong menyeru seluruh rakyat untuk memberikan sokongan padu kepada petugas barisan hadapan dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Seri Paduka Baginda bertitah maka inilah masanya untuk kita, sebagai warganegara dan rakyat Malaysia mengenepikan perbezaan politik, bangsa dan agama, bersama mempamerkan semangat kesetiaan, kemanusiaan dan jati diri memerangi wabak Covid-19,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan petang ini.

“Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa dukacita terhadap rakyat yang masih tidak peka dalam tindak-tanduk harian mereka, khususnya terhadap pematuhan disiplin amalan kebiasaan baru dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak ini.”

Minggu lalu Agong memperkenankan pengisytiharan darurat pandemik selepas peningkatan jangkitan harian Covid-19 konsisten sebanyak empat angka sejak Disember lepas.

Sehari sebelum itu kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebahagian besar negeri di Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini Agong turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus untuk menyelamatkan negara.

“Agong menzahirkan harapan agar para wira dan wirawati petugas barisan hadapan terus cekal dan tabah dalam memerangi gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini.

“Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini untuk mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar para petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi dan segala usaha yang kita lakukan dalam memerangi Covid-19 diberkati dan berjaya.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.