- Iklan -
Berita

Banjir di Sarawak, Pahang semakin pulih

Keadaan banjir di Sabah tidak banyak berubah dengan lapan daerah masih terjejas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pekan Donggongon Penampang di Sabah dinaiki air setelah hujan lebat berterusan. Gambar: Bernama
Pekan Donggongon Penampang di Sabah dinaiki air setelah hujan lebat berterusan. Gambar: Bernama

Situasi banjir di Sarawak dan Pahang menunjukkan tanda semakin pulih apabila jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan pagi ini.

Bagaimanapun di Sabah, keadaan banjir tidak banyak berubah dengan lapan daerah masih terjejas banjir.

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 309 orang pagi ini berbanding 325 semalam.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kesemua mangsa banjir berkenaan berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Puteh, Serian, satu-satunya PPS yang masih beroperasi di Bumi Kenyalang.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir yang masih berada di empat PPS di Kuantan dan Pekan hari ini berkurangan kepada 422 orang daripada 118 keluarga berbanding 509 orang petang semalam, demikian menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Seramai 337 mangsa banjir di Kuantan ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Melati, Penjara Penor dan SK Bunut Rendang manakala di Pekan, dua PPS yang beroperasi ialah SK Temai dan Dewan PKB Padang Rumbia yang menempatkan 85 mangsa.

Portal infobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Jelai di Lipis masih melebihi paras bahaya, walaupun banjir di negeri tersebut yang bermula 3 Jan lepas, sudah hampir pulih.

Sementara di Sabah, jumlah mangsa banjir kekal 791 orang daripada 227 keluarga di 13 PPS setakat pagi ini.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa itu melibatkan 217 kampung dari lapan daerah iaitu Beaufort, Paitan, Kota Kinabalu, Kota Belud, Tuaran, Papar, Tenom dan Kinabatangan.

“Beberapa daerah terlibat masih mengalami hujan dan angin kencang,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, banjir di Sabah mengakibatkan 53 jalan dinaiki air dan beberapa tempat di tujuh daerah termasuk Pitas, Kota Kinabalu, Kota Marudu dan Kudat mengalami tanah runtuh.