- Iklan -
Berita

Hubungan AS, sekutu akan dipulihkan, kata Biden

Biden turut berikrar untuk menjadi penyokong kuat dan boleh diharapkan untuk keamanan, kemajuan dan keselamatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden. Gambar: AP
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden. Gambar: AP

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dalam ucapan sulungnya pada Rabu berkata AS akan memulihkan hubungan dengan sekutunya dan kembali melibatkan diri dengan dunia, lapor Agensi Berita Sputnik.

“Kami akan pulihkan hubungan dengan sekutu kami dan sekali lagi melibatkan diri dengan dunia bukan untuk mengharungi cabaran semalam tetapi cabaran hari ini dan akan datang.

“Kita akan memimpin bukan hanya sekadar teladan menggunakan kekuatan, tetapi daripada kekuatan teladan yang ditunjukkan,” kata Biden.

Biden turut berikrar untuk menjadi penyokong kuat dan boleh diharapkan untuk keamanan, kemajuan dan keselamatan.

Beliau turut akan menumpukan usaha untuk “menyatukan semula Amerika” dan menyeru rakyat bersama-sama berganding bahu.

“Rakyat Amerika mampu menjadikan negara mereka sekali lagi sebagai peneraju utama dunia,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Biden berkata pentadbirannya akan menangani isu ketuanan kulit putih dan keganasan domestik.

“Sekarang, peningkatan ekstremisme politik, ketuanan kulit putih, keganasan dalam negeri yang harus kita hadapi dan tangani,” ujarnya.

Pada masa sama Biden meminta AS menamatkan sengketa yang berterusan.

“Kita mesti menamatkan perpecahan ini, puak merah melawan biru, liberal menentang konservatif, orang kampung dengan bandar,” katanya.

Biden juga yakin AS mampu memerangi wabak Covid-19.

“Kita pasti dapat tangani virus maut itu,” katanya.

Biden juga dijangka menandatangani 17 perintah eksekutif yang akan membatalkan beberapa dasar pentadbiran bekas Presiden Donald Trump, seperti menghentikan pembinaan tembok sempadan, menyertai semula Perjanjian Iklim Paris dan Pertubuhan Kesihatan Dunia, menamatkan  projek saluran paip Keystone XL dan menarik balik larangan perjalanan Muslim.

Sejurus sebelum berucap, Biden mengangkat sumpah di depan Ketua Hakim Mahkamah Agung, John Roberts.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi