- Iklan -
Berita

‘Ikon cercaan’ masih kawal Umno walaupun tersungkur pada 2018, kata veteran, penganalisis

Ini adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku dan rakyat akan terus gelak dengan ikon-ikon tersebut.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi
Umno mungkin akan kalah dengan lebih teruk pada PRU15 jika ia gagal untuk berubah. Gambar: AP
Umno mungkin akan kalah dengan lebih teruk pada PRU15 jika ia gagal untuk berubah. Gambar: AP

Beberapa kenyataan pemimpin Pemuda Umno baru-baru ini terhadap presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi merupakan satu peringatan kepada janji untuk “meremajakan” parti itu yang tidak pernah berlaku, dengan beberapa pemerhati mengatakan ia sepatutnya melakukan reformasi pada 2018 selepas kalah dalam pilihan raya tahun itu.

Penganalisis politik Mahadee Ismail mengatakan sayap Pemuda tidak boleh hanya tunduk atau mengikut secara membuta tuli apa yang dilakukan pihak atasan parti dan pemimpin terpalit skandal dan kes rasuah sepatutnya tidak lagi memimpin.

“Sepatutnya rombakan ini dibuat sejurus kekalahan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu lagi,” kata ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia itu kepada MalaysiaNow.

Beliau berkata, sebaliknya mereka yang menjadi “ikon cercaan” rakyat yang mendapat tempat tinggi dalam parti.

“Ini adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku. Rakyat akan terus gelak dengan ikon-ikon tersebut,” katanya tanpa menamakan siapa yang dimaksudkan.

Zahid dikritik beberapa pemimpin Pemuda Umno negeri dan bahagian, yang mendesaknya supaya beliau berundur selepas pendedahan mengenai sokongan yang diberikan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional yang disokong parti Melayu itu selepas pentadbiran Pakatan Harapan tumbang tahun lepas.

Zahid berdepan berpuluh-puluh tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, tetapi tetap menang jawatan presiden, menggantikan Najib Razak yang melepaskan semua kedudukannya berikutan kekalahan Umno pada 2018.

Katanya ahli Umno perlu menjaga parti bukan jaga individu.

Bagaimanapun, Najib yang terlibat dalam skandal 1MDB yang dipersalahkan di atas kekalahan Umno, masih berpengaruh dalam parti melalui penyokong setianya.

Seorang veteran Umno mengatakan parti itu akan kalah dengan lebih teruk pada PRU15 jika ia gagal untuk berubah.

Pengerusi Veteran Umno Othman Desa mengatakan Umno sepatutnya lebih kuat selepas mengalami kekalahan.

“Janganlah kita terjun dalam lubang yang sama dua kali, kata Othman yang pernah menjadi setiausaha politik kepada bekas perdana menteri, Abdullah Badawi kepada MalaysiaNow.

Katanya ahli Umno perlu menjaga parti bukan jaga individu.

Mahadee berkata, golongan muda sukar bergerak naik di dalam Umno disebabkan parti itu masih dikuasai “warlords” yang tidak mahu melepaskan kuasa.

Beliau berkata parti-parti politik lain lebih jelas memberi ruang yang lebih luas kepada generasi muda, tetapi Umno masih di takuk lama.

“Tidak banyak berubah, sedangkan rakyat Malaysia sudah jauh berubah.

“Sampai bila kepimpinan lama harus kekal diberikan kuasa?” soalnya.

Sekurang-kurangnya tiga pemimpin kanan Pemuda Umno tampil secara berani meminta perubahan dilakukan pada pucuk pimpinan parti, yang dilihat sebagai satu protes terhadap Zahid, berikutan rasa tidak puas hati semakin memuncak apabila presiden mereka menyokong Anwar.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi mengatakan perubahan perlu dilakukan terhadap pimpinan tertinggi parti, manakala Ketua Pemuda Umno Bahagian Pontian Helmi Buang dan Ketua Pemuda Bahagian Seremban Zool Amali Hussin secara terbuka menggesa Zahid disingkirkan.

Mahadee berkata, disebabkan Umno tidak memberikan laluan kepada orang muda, parti itu semakin jauh daripada golongan tersebut yang bakal menjadi sektor undi terbesar apabila rakyat berumur 18 tahun dibenarkan mengundi.

Mahadee berkata, pemimpin Pemuda lebih dekat dengan golongan belia-remaja masa kini yang mencerminkan sentimen generasi muda.

“Rakyat semakin hari semakin tinggi ilmu dan pendidikannya, para pimpinan Umno juga harus sedar tentang perubahan penting yang perlu dilakukan dalam parti, khususnya membersihkan dahulu nama Umno daripada terpalit dengan ikon-ikon negatif yang kurang disenangi oleh rakyat,” tambahnya.

Mahadee mengatakan agenda meremajakan parti patut bermula dari sekarang dengan menggesa “pemimpin atasan yang sudah lanjut usia” untuk melepaskan jawatan mereka.

“Saya kira hanya wujud pada slogan sahaja, dari segi tindakan tidak bergerak ke mana-mana,” katanya, merujuk kepada seruan dalam perhimpunan agung Umno yang lalu untuk menjadikan parti itu lebih menarik kepada generasi muda.

“Pemuda Umno perlu terus mendesak supaya mereka diberikan kedudukan yang lebih luas dan besar dalam parti, mendapat tempat yang lebih banyak dalam majlis tertinggi dan menduduki kerusi utama kepimpinan tertinggi,” kata Mahadee.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.