- Iklan -
Berita

Kedai makan, restoran beroperasi hingga 10 malam bermula esok

Kerajaan bersetuju melanjutkan masa selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pelanggan membungkus makanan di sebuah gerai di Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi.
Beberapa pelanggan membungkus makanan di sebuah gerai di Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi.

Kerajaan hari ini bersetuju melanjutkan tempoh operasi kedai makan dan restoran sehingga pukul 10 malam berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia dipersetujui selepas mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan beberapa agensi berkaitan.

“Selepas perbincangan kerajaan bersetuju membenarkan lanjutan waktu hingga pukul 10 malam,” katanya.

Ismail berkata, kerajaan mendengar keluhan dan rungutan pembeli dan peniaga selepas hanya dibenar beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam sahaja ketika ini.

“Seperti saya katakan kerajaan sentiasa mendengar pandangan rakyat. Kita sedar apabila rungutannya banyak berlaku maka kita segera adakan mesyuarat sejak minggu lepas lagi tentang perkara ini,” katanya pada sidang media khas perkembangan PKP di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, Ismail berkata prosedur operasi standard (SOP) masih kekal  – tidak dibenarkan makan di premis makanan, hanya pembungkusan, penghantaran dan pandu lalu dibenarkan.

“Makan di kedai masih tak dibenarkan, ia masih kekal untuk dibawa pulang dan pesanan untuk penghantaran makanan juga kita buka sampai 10 malam,” katanya.

Sebelum ini, langkah itu menerima kecaman daripada sekumpulan ahli Parlimen pembangkang, mengatakan pelaksanaan itu menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas waktu kerja dan mengganggu pemulihan kembali ekonomi.

MalaysiaNow melaporkan, Ismail dipetik berkata jika kerajaan membenarkan mereka beroperasi melebihi pukul 8 malam, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak ada bezanya dengan PKP Bersyarat, pada ketika kes Covid-19 kian meningkat.

Namun, katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN), selaku badan bertanggungjawab akan membuat pertimbangan berhubung perkara itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.