Sayap bukan Islam PAS mempertahankan tindakan menteri besar Kedah membatalkan perayaan Thaipusam sebagai cuti peristiwa di negeri itu, mengatakan Muhammad Sanusi Md Nor mempunyai hak menentukan hala tuju negeri ditadbirnya mengikut kesesuaian keadaan.
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Dr G Balachandran berkata, tindakan Sanusi membatalkan cuti perayaan Thaipusam yang bakal disambut pada 28 Januari depan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang Covid-19.
“Saya tidak nampak salah MB Kedah langsung. Dan keputusan yang dibuat adalah dengan mengambil kira situasi dalam negara yang sedang menjalani PKP, semua orang kena duduk rumah juga,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Jadi dengan ini masyarakat akan sedar PAS bukan sebuah parti yang benci kepada kaum lain. Tetapi ada isu-isu yang melibatkan undang-undang dan fakta yang perlu dilihat dengan lebih terperinci.”
Pada Rabu, Sanusi dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajan negeri menyatakan tiada cuti peristiwa untuk Kedah bagi perayaan Thaipusam tahun ini, susulan situasi semasa berkaitan Covid-19.
Keputusan itu kemudian mendapat kecaman beberapa pemimpin politik khususnya menteri sumber manusia yang juga timbalan presiden MIC M Saravanan, yang dilaporkan menganggap ia sebagai berat sebelah selain Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, yang menyifatkannya sebagai melampau.
Semalam Sanusi berkata, penganut agama Hindu masih boleh menyambut perayaan itu di mana-mana sahaja, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 yang ditetapkan.
“Semua orang sedang ‘dicutikan’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selama ini pun Kedah tak cuti Thaipusam melainkan dua tahun terakhir yang dijadikan cuti peristiwa, bukan cuti umum rasmi negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan.
Selari dengan pendirian Sanusi, Balachandran berkata, Kedah merupakan negeri yang tidak mengiktiraf Thaipusam sebagai cuti umum sebelum ini dan hanya diiktiraf sebagai cuti peristiwa pada 2017.
“Ia menjadi satu kebiasaan apabila ia hanya diiktiraf sebagai cuti peristiwa. Dan bila ia cuti peristiwa sudah pasti ia bukan cuti umum. Cuti peristiwa ia diputuskan atau diiktiraf oleh kerajaan negeri.
“Bila dalam PKP tiada perayaan boleh diadakan jadi hanya sembahyang di rumah. Sebab itu tidak perlu cuti peristiwa apabila semua orang memang perlu duduk di rumah. Oleh sebab itu MB Kedah kata tidak ada cuti”.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.