- Iklan -
Berita

Pasar Borong Pandan di JB ditutup seminggu kerana Covid-19

Pasar terbabit akan beroperasi semula selepas kerja-kerja sanitasi selesai dilakukan mengikut tarikh ditetapkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Restoran Al Hamed di Pasar Borong Pandan di Johor Bahru meletak papan tanda untuk mengingatkan para pelanggannya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. Gambar: Bernama
Restoran Al Hamed di Pasar Borong Pandan di Johor Bahru meletak papan tanda untuk mengingatkan para pelanggannya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. Gambar: Bernama

Pasar Borong Pandan dekat Kangkar Tebrau, di Johor Bahru ditutup selama tujuh hari bermula hari ini hingga 31 Januari bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan selepas terdapat kes positif Covid-19 di pasar berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu ketika dihubungi Bernama mengesahkan penutupan berkenaan dan memaklumkan bahawa notis perintah tutup premis dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pagi tadi.

Beliau berkata pasar terbabit akan beroperasi semula selepas kerja-kerja sanitasi selesai dilakukan mengikut tarikh ditetapkan.

“Apabila sempurna kerja-kerja sanitasi disahkan oleh KKM, pasar berkenaan sudah boleh dibuka,” katanya, di Johor Bahru hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Johor Bahru Tai Wah Sun berkata pemilik, peniaga ikan dan sayuran termasuk pekerja dan pemandu lori di Pasar Borong Pandan mengambil inisiatif menjalani ujian saringan kesihatan dan kuarantin kendiri di rumah setelah mengetahui terdapat kes positif di kawasan mereka berniaga.

Katanya, meskipun notis penutupan pasar itu dikeluarkan pagi tadi namun kebanyakan warga pasar terbabit sudah menjalani ujian saringan beberapa hari sebelumnya sebagai tindakan awal pencegahan penularan Covid-19.