Negeri di selatan India, Tamil Nadu akan membenarkan buat pertama kali Thaipusam disambut sebagai hari cuti umum pada 28 Januari ini, yang dilihat sebagai satu langkah bagi mendapatkan sokongan para pengundi penganut Hindu yang kini menjadi sasaran Parti Bharatiya Janata (BJP) untuk terus berkuasa di peringkat persekutuan.
Ketua Menteri Tamil Nadu Edappadi K Palaniswami mengisytiharkan cuti perayaan itu pada awal bulan ini, selepas menerima tekanan daripada BJP yang menggambarkan diri mereka itu sebagai “penyelamat Murugan”.
Dewa Murugan merupakan watak penting ketika sambutan Thaipusam yang mampu hadir dalam pelbagai bentuk di seluruh India dan juga di seluruh dunia.
Ahli politik BJP terus memberi tekanan dengan menuduh kerajaan Tamil Nadu tidak menghormati Dewa Murugan kerana melarang perarakan Thaipusam tahun ini disebabkan pendemik Covid-19.
Ia menjadi tumpuan selepas satu video kontoversi yang dimuat naik ke YouTube didakwa menghina Dewa Murugan.
Sejak dari itu, BJP meletakkan diri mereka sebagai pejuang Dewa Murugan dan menentang sekatan Covid-19 dengan melancarkan satu kempen dikenali “VetriVel Yatra”, di mana para pemimpin parti itu mengadakan jerayawara dan mengunjungi kuil-kuil Dewa Murugan.
Ketua BJP Tamil Nadu L Murugan turut mendesak kerajaan negeri untuk mengisytiharkan cuti Thaipusam.
Pada 5 Januari, ketua menteri Edappadi mengatakan Tamil Nadu akan mengikuti langkah Sri Lanka dan Mauritius mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti umum.
“Oleh itu, saya mengisytiharkan 28 Januari sebagai cuti umum Thaipusam di seluruh negeri dan akan turut dimasukkan ke dalam kalendar cuti umum pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Parti sayap kanan BJP bersama-sama parti fundamentalis Hindu lain, menguasai pentadbiran persekutuan lebih dari dua dekad, tetapi pengaruh mereka di selatan India amat terhad di negeri Thaipusam diraikan.
Parti itu sejak kebelakangan ini cuba meluaskan pengaruh ke Tamil Nadu dengan memperjuangkan isu agama yang dekat di hati penganut Hindu.
Namun, seorang penganalisis mengatakan BJP tidak akan berjaya, kerana strategi yang digunakan di negeri utara tidak akan berkesan kepada pengundi di selatan.
“BJP memperjuangkan ideologi Dravidian dan tindakan mereka jelas, tetapi perlu diingat rasa sayang penduduk Tamil Nadu kepada Dewa Murugan lebih daripada apa mereka sangkakan.
“Ia bukan tindakan yang bijak oleh BJP sebagai sokongan asas, yang mungkin akan menyebabkan kebangkitan semula gerakan Dravidian,” kata pakar politik Ramu Manivannan dari Univerisiti Madras kepada Deccan Herald tahun lepas.