- Iklan -
Berita

Gantung Parlimen, Anwar cabar PM di mahkamah

Anwar, selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menerusi Tetuan Karpal Singh & Co.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Presiden PKR Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim telah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman mencabar tindakan Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat.

Anwar, selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menerusi Tetuan Karpal Singh & Co dengan menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, Anwar memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh jemaah menteri, diketuai oleh Muhyiddin untuk menasihati Sultan Abdullah untuk memasyurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memohon deklarasi bahawa Seksyen 14 Ordinan Darurat tersebut tidak konsisten dengan Perkara 150 (3) dan (5) Perlembagaan Persekutuan serta tidak berpelembagaan dan tidak sah selain memohon perintah mandamus memerintahkan kedua-dua responden untuk menasihatkan Sultan Abdullah untuk membatalkan Seksyen 14 Ordinan Darurat berkenaan.

Pada 12 Januari lepas, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Sultan Abdullah telah memberi perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Perdana menteri dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan Proklamasi Darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa mulai 11 Januari.

Perkara 150 (1) itu antara lainnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan sedang terancam.

Ancaman pandemik Covid-19 kini menjadi ancaman besar terhadap kehidupan ekonomi rakyat di negara ini.