Dakwaan pemilik rangkaian peruncitan tempatan mengenai platform e-dagang bukan sebahagian besar dalam perniagaan menyebabkan perdebatan dalam talian, apabila ramai tampil mempersoalkan pandangannya mengenai kaedah jualan yang tidak menguntungkan pemain tempatan, tetapi hanya kepada syarikat multinasional.
Tanpa menamakan syarikat terbabit, Ameer Ali Mydin, pemilik rangkaian pasar besar Mydin mengatakan platform e-dagang di negara ini hanya menguntungkan dua pembekal asing.
“Mereka mengenakan caj 30% untuk penghantaran minuman dan makanan. Betul-betul buat duit! Apa kita buat? Sokong dan terus menyokong. Kita menyokong pihak yang salah,” katanya kepada radio perniagaan BFM, semalam.
Ameer mengatakan platform e-dagang tidak memberi sebarang faedah kepada keseluruhan rantaian bekalan, tidak seperti seseorang itu bebelanja di kedai fizikal.
“Apabila anda pergi membeli-belah, anda boleh jalan-jalan, pergi minum minuman dan menaiki teksi. Keseluruhan rantaian bekalan itu bergerak”.
Namun, adalah mustahil untuk membayangkan seseorang menghabiskan masa berjam-jam berjalan-jalan dalam kedai fizikal dan hanya membeli minuman, menyebabkan rantaian bekalan terganggu.
Sektor e-dagang berkembang dengan pesat sebelum muncul pandemik Covid-19 menyebabkan kedai bata dan mortar beroperasi pada kemampuan maksimum.
Platform e-dagang di negara ini bermula pada 1998 dengan Lelong.
Pada 2001, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia melancarkan penjualan tiket secara dalam talian, dan beberapa tahun kemudian, nama seperti eBay, Groupon dan Mudah menjadi bualan dalam kalangan rakyat negara ini.
Fasa terkini platform e-dagang di negara ini mula berkembang dalam pasaran pada 2012 apabila Lazada dan Zalora dilancarkan di Malaysia, diikuti Shopee pada 2015.
Syarikat penyelidikan pasaran digital eMarketer meramalkan penjualan platform e-dagang global akan mencapai AS$4.9 trilion tahun ini, berbanding AS$1.3 trilion pada 2014.
Platform e-dagang di negara ini bermula pada 1998 dengan Lelong.
Jualan e-dagang di seluruh dunia terus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran peruncitan dan menjelang tahun 2023, ia akan menyumbang sebanyak 22% daripada jualan global.
Ketika Covid-19 memaksa perniagaan menghentikan operasi, kebanyakan peniaga kecil dan sederhana tidak mempunyai platform bagi membolehkan pelanggan terus menyokong mereka sehingga wujud inisiatif awam-swasta membawa mereka ke dalam talian.
Mereka kini bergantung sepenuhnya kepada platform e-dagang, menyedari kelebihan yang boleh dimanfaatkan dalam menambah aliran pendapatan dan memenuhi permintaan pembeli dalam talian yang semakin meningkat.
Pertumbuhan platform e-dagang di negara ini didorong oleh pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan, yang bertujuan bagi meningkatkan akses internet di kawasan luar bandar dan menambah baik teknologi e-dompet.
Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, penduduk di kawasan kurang membangun di negara ini mempunyai pilihan terhad dalam kuasa membeli sebelum wujud platform e-dagang.
Pandemik membuatkan pengguna beralih ke pembelian dalam talian, yang mengatakan ia memudahkan, harga lebih rendah dan kebolehan mengenal produk dalam masa nyata.
Hakikatnya kebanyakan perniagaan mampu bertahan daripada Covid-19 yang menyebabkan perintah kawalan pergerakan dengan berpindah ke dalam talian.
Oleh itu, adalah platform e-dagang lebih menguntungkan individu dan perniagaan daripada dua pembekal multinasional asing?
Satu tinjauan yang dijalankan oleh Shopee menunjukkan walaupun mempunyai pekerjaan, 35.4% daripada penjual beralih ke platform e-dagang sebagai sumber pendapatan alternatif.
Daripada 11,850 penjual yang disoal selidik, 5,406 merupakan usahawan baru yang beroperasi 100% secara dalam talian. Mereka ini memperoleh pendapatan purata RM2,750 sebulan di Shopee sahaja.
Pandemik memaksa orang ramai untuk bekerja, belajar dan berbelanja dan juga berkomunikasi dengan cara berbeza. Berlaku perubahan besar dalam tingkah laku pengguna.
Perubahan-perubahan ini akhirnya akan membentuk masa depan platform e-dagang, walaupun selepas pasca pandemik.
Sebahagian daripada norma baru adalah membeli-belah dalam talian, dan platform yang disediakan oleh syarikat besar memastikan perniagaan kecil atau tradisional tidak terkecuali.
Ketika pengguna mula beralih ke dalam talian untuk melakukan pembelian, syarikat, terutamanya platform e-dagang mengambil inisiatif bagi membantu perusahaan kecil sederhana (PKS) memulakan perniagaan digital mereka. Bantuan diberikan termasuk pemberian pinjaman, latihan, kedai di plarform e-dagang, dan pemasaran digital.
Langkah digitalisasi turut disokong dengan pemberian geran MDEC berjumlah RM300 juta dalam bentuk usaha sama dengan sektor swasta, melibatkan latihan, subsidi vendor dan bantuan jualan.
Lazada Malaysia membantu lebih 50,000 PKS baru melalui program rangsangan Pakej Kedai Pintar dan mereka mencatatkan pertumbuhan jualan keseluruhan melebihi 110%.
Astro Malaysia merupakan satu lagi contoh syarikat yang memanfaat kelebihan memiliki pasaran pengguna yang besar dan keupayaan membantu PKS dalam digitalisasi menggunakan Go Shop, platform e-dagangnya yang memiliki kira-kira 600 vendor, dengan bantuan Astro TV, Astro On The Go, serta platform lain dalam talian dan mudah alih.
Media sosial turut memainkan peranan besar, berfungsi sebagai platform mencari dan pasca pembelian untuk perniagaan e-dagang.
Dengan kira-kira 25 juta pengguna media sosial aktif di negara ini, merangkumi 78% daripada penduduk, terdapat potensi besar untuk pertumbuhan e-dagang di Malaysia.
Menurut analisis GlobalData’s Ecommerce, platform e-dagang Malaysia dijangka mencapai RM51.6 bilion menjelang tahun 2024.
Pun begitu, Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara jiran, walaupun ia ada kaitan dengan saiz pasaran.
Sebagai contoh, pasaran platform e-dagang di Indonesia bernilai AS$21 bilion pada 2019 dan dijangka mencecah AS$40 bilion pada 2022, kata McKinsey.
Sokongan kuat kerajaan untuk peruncitan berasaskan internet mengurangkaan halangan masuk untuk rakyat negara ini berdagang dalam talian dan merentasi sempadan.
Pasaran e-dagang Malaysia akan terus berkembang kerana didorong peningkatan perbelanjaan pengguna, pengguna internet dan penerimaan pembayaran mudah alih.
Ia satu perniagaan besar, malah peruncit gergasi seperi Mydin yang selama ini selesa dengan orang ramai memenuhi kedai-kedainya di seluruh negara, tidak mampu untuk tidak ambil peduli.