Malaysia berada dalam kedudukan antara 20 negara terbaik dunia dalam menangani pandemik Covid-19, menurut kajian dilakukan di Australia.
Badan pemikir polisi Lowy Institute, yang berpusat di Sydney membandingkan data boleh diakses umum berkenaan virus itu dari 100 negara dengan Malaysia berada dalam kedudukan ke 16, mendahului Finland, Norway dan Korea Selatan.
Semasa fasa awal pandemik, Malaysia mendapat pujian dunia berhubung cara menangani virus tersebut.
New Zealand mendapat tempat pertama menurut kajian itu, dengan markah 94.4%.
New Zealand dipuji dunia berhubung cara menangani Covid-19 dengan hanya 25 kematian dan kurang 2,000 rakyat dijangkiti dari populasi lima juta penduduk.
Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia mendapat 71%, sementara Singapura berada di tiga tangga lebih atas dengan markah 74.9%.
Sementara Vietnam mendapat tempat pertama di Asia Tenggara, dan kedua di dunia selepas New Zealand dengan markah 90.8%.
Negara Asean lain yang termasuk dalam kedudukan lima teratas ialah Thailand, di kedudukan keempat dunia dengan markah 84.2%.
Bagaimanapun negara terbesar Asia Tenggara Indonesia berada di kedudukan yang corot, dengan markah 24.7%.
Brazil diletakkan di kedudukan yang terbawah dengan markah 4.3%.
Amerika Syarikat berada di kedudukan ke 94, merupakan satu-satunya negara maju yang berada di kedudukan 10 terbawah termasuk Panama, Bolivia, Iran, Colombia, Mexico dan Iran.
China, negara pertama yang menemui pandemik membunuh itu tidak dimasukkan dalam senarai kerana kekurangan data yang boleh diakses.
Penilaian dilakukan terhadap negara-negara ini berdasarkan angka kes, kematian, kes per juta orang, kematian per juta orang, kes disahkan dari perkadaran ujian dan ujian per juta orang.
Bagaimanapun Lowy Institute berkata, tiada negara yang boleh dianggap sebagai pemenang dalam kajian selama 36 minggu itu.
“Sesetengah negara menangani pandemik lebih baik daripada negara lain – tetapi hampir semua negara bersaing antara satu sama lain hanya disebabkan sedikit prestasi kurang baik. Kesederhanaan pandemik itu di banyak negara berubah mengikut masa dengan jangkitan meningkat di negara yang menanganinya dengan baik pada peringkat awal,” kata kajian itu.
Menurut kajian itu, walaupun negara kaya mempunyai lebih banyak sumber untuk melawan pandemik, kebanyakan negara membangun mampu berdepan peringkat awal Covid-19 lebih baik berbanding negara maju. Bagaimanapun, negara-negara membangun ini hilang arah pada penghujung 2020 dengan peningkatan jangkitan.
Jangkitan Covid-19 di Malaysia meningkat selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lepas, yang menyaksikan gelombang ketiga sehingga petugas kesihatan memberikan amaran krisis tercetus di hospital awam.
Awal bulan ini Putrajaya melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan di seluruh negara kecuali Sarawak, dan darurat diisytiharkan untuk memberikan kerajaan kuasa lebih luas untuk melawan pandemik yang sudah meragut lebih 700 nyawa itu.
Lowy Institute berkata, kerajaan di negara membangun lebih cepat dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan.
Katanya teknologi bukanlah faktor kritikal dalam mengambil langkah pencegahan seperti perintah berkurung dan menguatkuasakan SOP seperti menggunakan pelitup muka dan menyemak suhu badan.
“Langkah kesihatan yang secara relatifnya ‘berteknologi rendah’ digunakan untuk mengekang penularan virus seperti perintah berkurung lebih meluas, mungkin menjadi padang sama rata antara negara maju dan negara membangun dalam menguruskan Covid-19,” tambahnya.