Kerajaan hari ini memberi jaminan tidak akan menutup sepenuhnya sektor ekonomi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan kesan lebih buruk terhadap masyarakat yang hilang sumber pendapatan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil kerajaan bagi mengimbangi kelangsungan hidup dan kesihatan rakyat sekalipun ada desakan agar sektor ekonomi ditutup bagi mengekang peningkatan kes Covid-19 yang semakin tinggi kebelakangan ini.
“Saya banyak terima (mesej) WhatsApp daripada peniaga-peniaga kecil dan peniaga tepi jalan yang mengadu keadaan mereka begitu susah sekiranya mereka tidak dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP.
“Ada yang saya terima mengatakan wang simpanan mereka telah habis digunakan untuk menyara keluarga. Walaupun kami membenarkan peniaga membuka warung makanan secara bungkus tetapi pendapatan mereka menyusut 50 peratus,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata kerajaan mengutamakan kesihatan rakyat, namun pada masa sama perlu menjaga kepentingan ekonomi rakyat terutamanya golongan B40.
“Kita tidak mahu rakyat kita mati kerana Covid-19 tetapi kita juga tidak mahu rakyat kita menderita tidak makan kerana tidak ada pendapatan untuk sara keluarga.
“Cuba bayangkan kalau warung atau kedai makan mereka ditutup terus untuk tempoh dua minggu dan dua minggu akan datang? Sudah tentu ini akan beri impak besar kepada mereka kerana mereka hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.
Tegasnya kerajaan juga bertanggungjawab memastikan ekonomi negara kekal stabil ketika mengharungi pandemik ini.
Walaupun sektor ekonomi tidak ditutup, ada prosedur operasi standard yang ditetapkan dan wajib dipatuhi rakyat bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, katanya.